SEREMBAN - Polis yakin mayat yang ditemui petang tadi berhampiran resort The Dusun Hill, Pantai di sini merupakan gadis Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang 4 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, bagaimanapun beliau menegaskan pengesahan hanya dapat dibuat selepas laporan bedah siasat diperoleh.
"Keluarga mangsa juga telah ke Hospital Tuanku Jaafar, (HTJ) Seremban untuk pengecaman mayat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Mayat ditemui ketika misi mencari Nora Anne
Ganjaran RM50,000 jika Nora Anne berjaya ditemui
"Mayat perempuan berkulit cerah itu ditemui oleh sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.57 petang," katanya dalam sidang media di Balai Polis Pantai di sini petang tadi.
Mazlan berkata, mayat itu ditemui di kawasan lurah berdekatan dengan anak sungai lebih kurang 2.5 Kilometer dari lokasi penginapan Nora Anne dilaporkan hilang dekat The Dusun Hill di sini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan mayat itu, Mazlan mengesahkan ia dalam keadaan tidak berpakaian (bogel) namun enggan mengulas sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuh mayat itu.
Menurutnya, mayat tersebut dibawa keluar dari lokasi dan diterbangkan menggunakan helikopter ke HTJ.
Dalam pada itu, ketika menjawab pertanyaan mengenai adakah kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada kawasan SAR, Mazlan berkata, pihaknya telah melakukan pencarian di situ sebelum ini.
"Kita telah melakukan operasi meliputi kawasan itu. 2 kilometer, 4 kilometer dan 6 kilometer dan kemudian berpatah balik," katanya.
Mazlan turut menegaskan kes masih disiasat di bawah kes orang hilang dan bukannya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop," katanya.
Terdahulu beliau meluangkan masa melawat lokasi kejadian sebelum tiba ke sidang media di Balai Polis Pantai di sini petang tadi.