Penolong Pegawai Perubatan Dr Mahathir meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Jamaludin Abd Aziz menerima kunjungan Dr Mahathir bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada pagi Hari Raya Aidiladha lalu ketika dirawat di IKN.

SHAH ALAM - Penolong pegawai perubatan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya sekitar jam 2.50 pagi tadi.

Sewaktu hayatnya, Allahyarham Jamaludin Abd Aziz, 67, merupakan sebahagian daripada pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) yang melakukan pembedahan pintasan jantung ke atas Dr Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Keempat pada 1989.

Iklan
Iklan

Allahyarham juga pernah ditugaskan untuk mengendalikan mesin sokongan selepas pembedahan berkenaan, seterusnya diberi kepercayaan menjadi penolong pegawai perubatan yang mengiringi Dr Mahathir ketika siri lawatannya sama ada di dalam mahupun luar negara sehingga kini.

Allahyarham berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan selama 14 tahun dari 1976 sehingga 1990 dan merupakan pelopor dalam membangunkan bidang Teknologi Kardiovaskular bermula di Wisma kayu hingga tertubuh IJN.

Iklan
Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Jamaludin Abd Aziz.

Anak sulung Allahyarham, Ahmad Shahril, 40, berkata, ayahnya meninggal dunia akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian ayahnya dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang individu yang sangat komited dengan kerja sehingga Dr Mahathir sendiri meluahkan rasa terhutang budi ke atas segala khidmat yang dicurahkan.

Iklan

"Arwah ayah mempunyai sifat yang tidak suka meminta-minta atau mengharapkan apa-apa ganjaran selama 30 tahun bekerja bersama Dr Mahathir dari beliau Perdana Menteri ke-4 hinggalah sekarang Perdana Menteri ke-7," katanya.

Allahyarham meninggalkan dua isteri, enam anak dan tujuh cucu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai selepas solat Zohor.