JAKARTA - Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mengenal pasti 629 titik panas di seluruh wilayah Indonesia sehingga semalam dan yang terbanyak adalah di Riau iaitu sebanyak 244 ‘hot spot’.
Ketua Pusat Maklumat dan Keselamatan Awam, Agus Wibowo berkata, data itu diperoleh berdasarkan kebakaran hutan dan kawasan pertanian yang sedang merebak hingga mencetuskan jerebu tebal di sekitar negara itu.
"Kira-kira 9,000 anggota bersama helikopter dikerah untuk mengawal kebakaran tersebut yang turut berlaku di Gunung Ciremai, Jawa Barat, Gunung Sumbing dan Jawa Tengah,” katanya.
Keadaan jerebu yang disebabkan kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Kalimantan Tengah juga menyebabkan Jabatan Pendidikan Kota Palangka Raya mengarahkan penutupan sementara sekolah.
"Tahap udara tidak sihat ini dikhuatiri akan membahayakan kesihatan murid dan pelajar,” kata ketua jabatan itu, Sahdin Hasan.
Kebakaran hutan dan kawasan pertanian yang berlaku sejak Mei lalu di beberapa wilayah Kalimantan dan sekitarnya terus merebak hingga kini.
Asap yang dikesan dari wilayah Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah yang telah menuju ke arah tenggara dan utara itu dijangka menyebabkan krisis jerebu terburuk yang mencetuskan konfrontasi serantau pada 2015 kembali berulang. - Agensi