KUANTAN - Gabungan NGO Negeri Pahang meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak mengaitkan insiden yang menimpa Allahyarham Syed Muhammad Daniel Syed Syakir dengan isu perkauman.
Penyelaras Gabungan NGO terbabit, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, sepatutnya insiden berkenaan dijadikan sebagai pengajaran dengan menolak budaya buli di jalanan.
"Semua orang perlu mendokong prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub di dalam rukun negara bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dua hari lalu, Allahyarham Syed Muhammad Daniel bertelingkah dengan seorang lelaki di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Mangsa meninggal dunia di Hospital Nilai ketika mendapatkan rawatan.
Haslihelmy berkata, pihaknya menyambut baik usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas menahan reman individu-individu yang terbabit bagi siasatan lanjut.
"Pemantauan dan penelitian mengenai perkembangan kes itu secara terus menerus akan dilakukan oleh pihak kami.
"Kami juga berharap saksi kejadian dapat tampil segera untuk beri kerjasama serta berkongsi maklumat yang sebenarnya dengan pihak PDRM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap insiden yang menimpa Allahyarham Syed Muhammad Daniel.
"Ucapan takziah kami rakamkan buat seluruh ahli keluarga beliau dan berdoa semoga diberikan ketabahan di dalam mengharungi ujian ini,” katanya.