Taska terpaksa tanggung kos tersembunyi

Iklan
Norfaizah
JOHOR BAHRU - Persatuan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Johor memaklumkan ahli-ahlinya tidak terkecuali menaikkan yuran taska berikutan terpaksa menanggung pelbagai kos pada tahun hadapan.

Presidennya, Norfaizah Abdul Hamid berkata, kadar peningkatan itu bergantung pada taska serta mengikut lokasi masing-masing.

"Terdapat kira-kira 250 taska di bawah persatuan kami. Ya, berkemungkinan ada kenaikan tetapi kadarnya tidak tentu lagi kerana perkara ini (yuran bulanan taska) berbeza di setiap kawasan.

"Misalnya di kawasan bandar untuk seorang bayi mencecah RM500 hingga RM600 berbeza di kawasan luar bandar kadarnya antara RM400 hingga RM450.

"Persatuan tiada kuasa untuk selaraskan yurannya. Namun, difahamkan di kalangan ahli kami memaklumkan akan menaikkan kadar yuran bulanan antara 30 peratus berikutan terpaksa menanggung pelbagai kos pada tahun hadapan," katanya.

Selain kos penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum pada tahun depan, pengurusan taska juga perlu menanggung pelbagai kos tersembunyi.

"Antaranya kakitangan yang kami ambil bekerja itu perlu dilengkapkan dengan kursus wajib sebagai syarat yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kursus tambahan untuk menambah kemahiran yang pastinya turut memerlukan belanja tinggi.

"Selain itu, penyediaan bahan mentah di taska selain kadar penyewaan premis taska juga perlu diambil kira,” katanya.

Jelasnya, kesemua ini adalah amat perlu bagi meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan mereka.

"Bagaimanapun, soal jangkaan peningkatan kadar yuran taska sudah dimaklumkan kepada ibu bapa lebih awal supaya mereka lebih bersedia.

"Kita faham, ini mungkin agak membebankan ibu bapa, namun kami sehabis daya berharap mereka turut memahami keadaan kami demi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan kami," tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Taska Nusa Indah, Islaina Yanti Rojihan berkata, pihaknya terpaksa membuat kenaikan antara RM30 hingga RM50 untuk yuran taska di tempatnya bermula tahun hadapan.

"Kami tidak dapat mengelak berikutan gaji minimum RM1,100 yang membabitkan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang perlu ditanggung majikan.

"Nisbah seorang pekerja adalah untuk tiga bayi dan kadang-kala gaji pekerja pun hanya cukup-cukup makan atau lebih sedikit sahaja untuk kadar yuran dibayar setiap bulan.

"Ini belum termasuk dengan pelbagai kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung pihak pengusaha taska berikutan kenaikan harga barang dan sebagainya.

"Kami juga tidak mendapat bantuan kerajaan meskipun berdaftar dengan JKM. Bagaimanapun, kami tetap patuh dengan segala arahan ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Islaina Yanti yang berpengalaman lebih lapan tahun dalam bidang berkenaan berkata, bagi meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan, pihaknya perlu menyediakan pelbagai kemudahan di taskanya.

"Ruang permainan kanak-kanak, alat permainan, tilam dan sebagainya memerlukan belanja.

"Kadar yang saya tetapkan di taska saya juga termasuk kos penyediaan kelengkapan untuk mandi. Ini kerana, sebelum ini, ada sesetengah ibu bapa yang tidak sediakan kelengkapan mandi untuk anak-anak mereka,” ceritanya.

Tambahnya, buat masa ini dia masih mengekalkan kadar bayaran yuran tahunan iaitu RM400 dan mengekalkan pakej harga tertentu jika ada ibu bapa menghantar lebih dua anak di tempatnya.