Wartawan, pelajar pondok lapah lembu

Iklan
Pelajar dan wartawan bersama Bohari serta Saifulbaharin sempena Gotong-royong Korban Amal ke-7 di Madrasah Al Badariah Pondok Jal Besar, Tumpat.

TUMPAT - Pelajar Madrasah Al Badariah Pondok Jal Besar berkongsi kemeriahan Aidiladha apabila dua lembu dikorbankan hari ini.

Meskipun madrasah berkenaan masih dalam pembinaan akibat kebakaran besar pada 2016, tetapi pelajar tetap gembira melaksanakan ibadah korban kali ini sempena Gotong-Royong Korban Amal ke-7 anjuran Mahsuri Travel & Tour Sdn dan Royal Guest House.

Iklan
Iklan

Lebih meriah apabila wartawan dari Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) turut sama bergotong-royong memasak dan melapah daging.

Pengurus program, Bohari Rahmat berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa pihak termasuk Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Kemudi.

Iklan

"Meriahnya kerana ia diadakan secara gotong-royong daripada melapah hingga memasak, yang disertai seramai 120 pelajar pondok, wartawan, mudir dan penduduk kampung.

"Ini sekali gus merapatkan silaturahim kerana penduduk sekitar turut dijemput memeriahkan jamuan makan," katanya ketika ditemui di Madrasah Al Badariah Pondok Jal Besar di sini.

Iklan
Sebahagian pelajar bersama wartawan dan penduduk bekerjasama melapah lembu korban sempena Gotong-royong Korban Amal ke-7 di Madrasah Al Badariah Pondok Jal Besar, Tumpat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Guest House, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud, Setiausaha Kemudi, Rosmiza Kasim dan Mudir Madrasah Al Badariah, Saifulbaharin Che Ali.

Bohari berkata, program dianjurkan bukan sahaja tertumpu pada ibadah korban setiap tahun, sebaliknya pelbagai lagi seperti menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, makan malam amal dan membantu pesakit kanser.

"Cuma gotong-royong korban diadakan setiap tahun dengan memilih Kelantan sebagai lokasi penganjuran," katanya.

Sementara itu, Saifulbaharin berkata, dia berterima kasih kepada penyumbang yang memberikan dua lembu untuk dikorbankan di sini.

"Harap bantuan ini berterusan untuk pelajar yang masih mendiami pondok yang belum siap sepenuhnya.

"Kebakaran tiga tahun lalu ada hikmahnya. Kami bina pondok baharu.

"Sudah berhabis RM1.8 juta dan masih perlukan RM800,000 lagi untuk menyiapkan sepenuhnya pondok di sini," katanya.