KUALA LUMPUR - Malaysia adalah negara keempat teratas daripada 29 negara yang rakyatnya bimbang menghadapi usia tua, menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).
Ipsos dalam satu kenyataan berhubung kajian terbarunya mengenai 'Penuaan di Malaysia' hari ini, menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan selepas Brazil, China dan Rusia yang masing-masing menduduki tempat pertama hingga ketiga.
Berdasarkan kajian itu mendapati bahawa sejumlah 62 peratus warga Malaysia risau tentang penuaan, berbanding dengan 52 peratus jumlah kebimbangan di seluruh dunia.
"Sebagai perbandingan, warga India (45 peratus), Amerika Syarikat (48 peratus) dan United Kingdom (50 peratus) tidak begitu bimbang meniti usia tua," menurut kajian itu.
Kajian itu turut mendedahkan 49 peratus warga Malaysia tidak optimis tentang penuaan serta bimbang meniti usia tua.
"Dapatan ini sangat berbeza dengan beberapa pasaran baru muncul iaitu India dengan 73 peratus dan Turki (67 peratus) yang sangat optimis tentang usia tua. Kebimbangan warga Malaysia tentang peringkat hidup tua ini boleh diterjemahkan oleh pemasar sebagai potensi peluang," menurut kajian itu.
Namun, kajian itu mendapati sejumlah 76 peratus warga Malaysia merasakan bahawa persediaan boleh dibuat bagi meniti usia tua dan keyakinan ini berpunca daripada hakikat bahawa 85 peratus rakyat tempatan menjangkakan kesihatan baik pada usia tua.
"Secara global, hanya 29 peratus bersetuju bahawa warga tua mempunyai pengaruh terlalu banyak dari segi politik. Bagaimanapun, sehingga 44 peratus responden warga Malaysia merasakan warga tua mempunyai pengaruh politik," menurut kenyataan itu.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa kekurangan optimisme warga Malaysia tentang penuaan diimbangi kepercayaan mereka terhadap teknologi dengan sejumlah 60 peratus warga Malaysia percaya bahawa perkembangan teknologi akan memudahkan kehidupan mereka pada usia tua.
"Sebaliknya pula, kira-kira 50 peratus warga Eropah (44 peratus di Perancis dan Belgium, 46 peratus di Sweden, 48 peratus di Hungary dan Republik Czech dan 51 peratus di United Kingdom) percaya bahawa teknologi dapat meningkatkan kehidupan mereka secara drastik pada usia tua," menurut kajian itu lagi.
Selain itu, melalui kajian itu turut menunjukkan warga Malaysia juga beranggapan bahawa usia 56 tahun sebagai permulaan peringkat hidup tua mereka.
"Usia ini adalah 10 tahun lebih awal berbanding dengan persepsi global tentang permulaan peringkat hidup tua. Kaji selidik ini mendedahkan bahawa responden kebanyakan negara ditinjau berpandangan bahawa peringkat hidup tua bermula pada akhir usia 60-an, bahkan awal 70-an dalam keadaan tertentu seperti warga United Kingdom dan Amerika Syarikat menganggap umur 68 tahun sebagai permulaan usia tua," menurut kajian itu.
Kajian tersebut diperoleh daripada kaji selidik Global Advisor yang dijalankan antara 24 Ogos hingga 7 Sept tahun lepas, melalui sistem Panel Dalam Talian Ipsos dengan melibatkan 20,788 individu berusia 16 hingga 64 tahun di 29 negara termasuk Malaysia. - Bernama