SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Sepasukan Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) tiba di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, di sini untuk proses bedah siasat mayat gadis Ireland, Nora Anne Quoirin,15.
Mereka dilihat tiba di Jabatan Perubatan Forensik HTJ jam 9.06 pagi dengan menaiki kenderaan HKL.
Sementara itu lebih 20 pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di pekarangan Jabatan Forensik ini seawal jam 6.30 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis sahkan mayat ditemukan Nora Anne
10 hari kehilangan Nora Anne akhirnya terungkai
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HTJ memaklumkan sidang media akan diadakan di jabatan itu sebaik keputusan bedah siasat diperolehi
Malam tadi Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, bedah siasat akan dilakukan pada jam 10 pagi ini.
Beliau sebelum itu mengesahkan yang mayat ditemui kira-kira jam 1.57 tengah hari semalam merupakan mayat Nora Anne selepas keluarga membuat pengecaman di HTJ.
Mayat berkenaan ditemui sekitar 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarga Nora Anne.
Katanya, mayat dalam keadaan tidak berpakaian itu ditemui berhampiran kawasan anak sungai, dalam lingkungan radius pencarian Nora Anne.