Pilihan Editor
BUKAN mudah untuk mengekalkan stamina. Ia satu cabaran besar terutama bagi mereka yang baru memulakan langkah ke arah meningkatkan kesihatan diri dan membina otot badan.
Oleh yang demikian, ramai memilih untuk bersenam di gimnasium yang dibimbing jurulatih berpengalaman.
Sekiranya kaedah itu difikirkan bersesuaian dengan diri, pengguna dipelawa berkunjung ke Gimnasium Musclemax yang terletak di Seksyen 7, Bangi, Selangor.
Musclemax yang mula dibuka pada tahun 2016 sesuai dijadikan pilihan untuk golongan yang serius mahu bersenam, membina otot badan, tampil maskulin dan ke arah usaha menguruskan badan.
Pemiliknya, Md Muhidi Md Moid, 33, atau Eddy sememangnya berpengalaman. Beliau mempunyai pengetahuan luas selama 12 tahun dalam bidang bina badan telah melatih lebih daripada 10 pelanggan memasuki pertandingan bina badan di Malaysia.
Baru-baru ini, Eddy boleh berbangga apabila melatih jaguh bina badan hingga berjaya membolot pingat emas pada pertandingan Mr Selangor.
"Sebagai salah seorang yang suka bersenam di gimnasium, saya tahu keperluan pelanggan. Saya memilih konsep keluarga dan santai sahaja seperti membuat senaman di rumah malah bebas menggunakan sebarang peralatan.
"Bukan itu sahaja, pelanggan yang hadir kebanyakannya tidak sombong dan akan membantu apabila melihat rakan lain memerlukan pertolongan,” ujar Eddy ketika ditemu bual Sihat:Aktif baru-baru ini.
Hasil pemerhatian Sihat:Aktif, peralatan di sana lengkap tersedia, memang sesuai kepada mereka yang bercita-cita membina otot badan.
Menariknya, beliau dengan rela hati memberi nasihat percuma buat para pelanggan yang tidak tahu cara betul memulakan sesi latihan. Jurulatih persendirian juga sentiasa bersedia apabila diperlukan.
Ikut keselesaan
Gimnasium Musclemax yang mempunyai keluasan 372 meter persegi memudahkan pelanggan bergerak dan bebas untuk menggunakan mesin mengikut keselesaan diri.
Eddy turut melengkapkannya dengan 50 mesin senaman antaranya Smith Machine untuk membentuk bahagian otot dada, kaki, bahu dan belakang.
Lat pull-Down Machine dan Seated Row Machine pula membantu bahagian belakang. Leg Press Machine digunakan untuk bahagian kaki manakala Preacher Curl Machine untuk membentuk otot tangan. Cable Crossover Machine pula untuk senaman belakang, bahu, tangan dan sebagainya.
"Alhamdulillah, pengaliran udara juga baik kerana di sekeliling gimnasium dilengkapi dengan tingkap. Tiada halangan udara untuk masuk menjadikan suasana mesra alam dan segar," terang Eddy yang akan memperuntukkan untuk dirinya sendiri sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk bersenam.
Berdasarkan rekod, gimnasium itu mempunyai seramai 400 ahli.
Bercerita lanjut, Eddy berkata, pada kelazimannya, beliau akan melatih pelanggan yang berminat untuk menyertai pertandingan bina badan atau mereka yang suka-suka untuk memiliki otot yang 'sado'.
"Selalunya apa yang saya lihat, mereka yang ada matlamat, lebih bersemangat. Berbanding mereka yang tidak ada matlamat, datangpun hanya membuat latihan selama beberapa hari sahaja," katanya.
Pun demikian, beliau tidak menafikan membuat latihan di gimnasium akan membuatkan seseorang mencapai tahap maksimum dapat bersenam, apa lagi hasil bantuan peralatan mencukupi, pengaruh persekitaran yang membina untuk kekal fokus berbanding membuat latihan di rumah.
ANEKDOT
GIMNASIUM Musclemax
Alamat: Jalan 7/7c, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Peralatan disediakan: Smith Machine, Lat pull-Down Machine, Seated Row Machine, Leg Press Machine, Preacher Curl Machine, Cable Crossover Machine dan dumbbell.
Waktu dibuka: 2 petang hingga 1 pagi (Ahad ditutup)
Caj: Sekali masuk RM5 dan ahli (RM60 sebulan).