Mak dah lama simpan impian ke Mekah

Iklan
Allahyarham Khatijah Salleh, 63, bersama tujuh lagi ahli keluarganya bergambar sebelum berangkat ke tanah suci
SABAK BERNAM -"Walaupun keadaan kesihatan mak tak mengizinkan, tapi dia tetap bersemangat nak pergi umrah, tak sangka arwah meninggal dunia di sana," demikian kata Mohd Shahrul Abdul Shukor, 34.

Mohd Shahrul merupakan anak kepada Khatijah Salleh, 63, yang meninggal dunia ketika dalam penerbangan ke tanah suci, awal pagi tadi waktu tempatan.

Mohd Shahrul berkata, arwah ibunya yang menghidap penyakit kencing manis sebelum ini, pernah ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebulan lalu.

"Mak memang dah lama simpan impian nak ke Mekah, hatinya kuat nak ke sana.

"Malah, dia sanggup ikuti kursus haji di Shah Alam walaupun kesihatannya tidak mengizinkan," katanya.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Katanya, dia dimaklumkan tentang kematian Khatijah menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar abang iparnya, Zulkifli Hitam, 44, kira-kira jam 6.40 pagi tadi.

"Abang ipar bersama tujuh lagi ahli keluarga lain turut sama dalam rombongan berkenaan memaklumkan ibu meninggal dunia jam 1.57 pagi tadi (waktu tempatan) semasa berada dalam pesawat," katanya.

Anak kelima daripada 10 beradik itu memberitahu, dia reda dengan pemergian ibunya itu dan menganggap ia sebagai suratan takdir.

"Memang mulanya timbul perasaan terkejut, tapi semua ini ada hikmah disebaliknya, lebih-lebih lagi niat emak ke tanah suci untuk beribadah," katanya.

Menurutnya, jenazah ibunya akan diuruskan agensi pelancongan yang membawa rombongan ibunya ke Mekah.

"Saya dimaklumkan, jenazah arwah emak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi, Madinah," katanya.

Mohd Shahrul berkata, arwah ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sempat berpesan supaya dia menjaga adik-beradik lain.

Katanya, keluarganya mengadakan solat jenazah ghaib dan majlis tahlil di Surau Al-Islah Parit 6 Timur, di sini, selepas solat Isyak.

Selain Khatijah, rombongan itu turut disertai suaminya, Shukor Achil, 65, anak sulung mereka, Zaleha, 42 dan suaminya, Zulkifli.

Kedua anak Zaleha dan Zulkifli turut mengikuti ke Mekah iaitu, Nazrul Fahmi, 16, dan adiknya, Alia Syafiqah 14 serta anak saudara arwah, Asiah Abdul Rahman, 54.

Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.30 petang semalam.