Warga Johor diminta jangan membazir air

Iklan
Jimmy Puah Wee Tse

JOHOR BAHRU - Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembaziran bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan susulan penyusutan bekalan air mentah.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, beberapa muka sauk loji rawatan air di negeri ini mengalami penurunan berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak awal bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Fenomena cuaca kering telah mengakibatkan tahap simpanan air mentah merosot di kebanyakan tempat dan boleh menyebabkan loji rawatan air tidak dapat beroperasi pada kadar normal.

"Walaupun secara purata kebanyakan sumber air mentah diterima 44 loji rawatan air membolehkan loji beroperasi seperti biasa, namun ada sebahagian muka sauk yang mengalami kekurangan sumber sekiranya berlarutan untuk tempoh lama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurutnya, petang semalam paras muka sauk bagi loji rawatan air di Lok Heng, Kota Tinggi menunjukkan kemerosotan mendadak hingga ke paras amaran 0.93 meter berbanding paras normal 2.75 meter.

Katanya, Sungai Sedili Kecil yang merupakan sumber bekalan air mentah bagi loji berkenaan mula mengalami kemerosotan sejak dua minggu lalu dan berterusan hingga semalam sementara Empangan Lebam berada bawah paras kritikal namun masih mampu beroperasi normal.

Iklan

"Pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd telah kemukakan cadangan bekalan air berjadual kerana loji sudah tidak boleh beroperasi secara normal dan telah memohon kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Namun ia bergantung kepada paras air mentah yang mencukupi untuk loji terus beroperasi," katanya.

Sementara itu, katanya di Muar beberapa paras air di muka sauk juga menunjukkan kemerosotan akibat cuaca kering ini.

"Muka sauk di sepanjang Sungai Muar menghampiri paras amaran manakala muka sauk ke loji Bukit Serampang pula mengalami kemerosotan paling ketara.

"Keadaan sama berlaku di beberapa sungai di Segamat, Empangan Gunung Pulai, Pontian yang menjadi sumber air minum kepada sebahagian penduduk Johor Bahru dan Pontian," katanya.