Air laut terlalu surut, orang ramai diminta jangan panik

Iklan
Fenomena air laut - Foto Internet
KUALA TERENGGANU - Orang ramai tidak perlu panik dan bimbang susulan penyebaran klip video di media sosial mengenai fenomena air laut terlalu surut yang berlaku di Dungun baru-baru ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ia adalah fenomena alam yang jarang berlaku dan menyebabkan ramai menganggap ia perkara luar biasa.

"Fenomena air laut terlalu surut ini telah diramal oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) susulan fenomena air pasang besar sebelum itu.

"Malah, sebelum ini pun telah berlaku fenomena air pasang besar yang merekod ketinggian maksimum iaitu 2.7 meter dan 2.8 meter. Jadi fenomena di Dungun itu adalah kejadian alam yang tidak mempunyai kaitan dengan negara jiran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular klip video di aplikasi WhatsApp yang berdurasi 1 minit 37 saat yang didakwa berlaku di Kuala Dungun yang dirakam ketika air terlalu surut.

Terdapat juga penyebaran audio berdurasi 34 saat yang menasihati penduduk sekitar Dungun supaya berhati-hati kerana fenomena air surut itu kononnya berkaitan dengan ancaman tsunami.

Che Adam meminta orang ramai supaya segera menghentikan penyebaran video dan audio itu kerana hanya mencetuskan panik kalangan orang ramai.

"Biarlah jabatan dan agensi kerajaan yang diberi amanah dalam perkara ini seperti Jabatan Meterologi Malaysia, Jupem dan JPS menjalankan pemantauan mereka,” katanya.- Bernama