RANTAU PANJANG - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mendakwa hampir menjadi mangsa culik tiga lelaki yang menggunakan van putih dalam kejadian di Jalan Rantau Panjang Lama berhampiran Kampung Kedap dekat sini petang semalam.
Kejadian 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd Danish Iskandar Paudin dalam perjalanan untuk mengambil rambutan di rumah sepupu yang tidak jauh dari rumahnya.
Mohd Danish berkata, sebaik sahaja melalui lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah van berwarna putih dinaiki tiga lelaki menghalang motosikal ditungganginya.
"Seorang daripada mereka telah keluar dan cuba menarik tangan saya untuk masuk ke dalam van tersebut.
"Saya menolak lelaki berkenaan, dia kemudian telah mengeluarkan sebilah pisau lalu melibas ke arah saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, mujurlah dia tidak panik dan sempat mengelak daripada terkena libasan itu.
Katanya, sejurus selepas itu lelaki yang bertutur menggunakan bahasa Cina itu bertindak melarikan diri selepas tindakannya tidak berjaya.
"Saya bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa.
"Bagaimanapun perasaan takut itu masih lagi ada dan kejadian tersebut berlaku dengan begitu pantas," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Paudin Harun, 58, berharap, polis dapat melakukan rondaan lebih kerap di Jalan Rantau Panjang Lama berhampiran dengan Kampung Kedap.
Katanya, rondaan berkala itu bertujuan memastikan kejadian yang menimpa Mohd Danish tidak berulang lagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintanden Ismail Jusoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.