KUANTAN - Seorang bekas pemandu di Kampung Rumbia Beserah di sini panik apabila atap zink di ruang tamu rumahnya terkopak dan hampir terbang dalam kejadian ribut sekitar jam 7.15 pagi tadi.
Yusoff Ali berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu manakala anak dan isterinya sedang menyiapkan sarapan pagi di dapur.
"Waktu tu saya dengar bunyi ribut kuat disertai hujan. Tiba-tiba bumbung terkopak dan hampir terbang. Kayu-kayu patah dan air hujan masuk membasahkan lantai ruang tamu, bilik pun basah sama sebab atap turut bocor.
"Kejadian terlalu cepat tapi mujurlah tak ranap kesemuanya. Syukurlah tidak berlaku kecederaan yang tak diingini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Yusoff yang bekerja sendiri berkata, anggaran kerugian dialami hampir RM2,000 apabila bumbung rumahnya rosak akibat ribut itu.
Hadir membuat lawatan ke rumah mangsa terlibat ialah wakil pejabat Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu bersama-sama Penghulu Mukim dan agensi kerajaan.
Yusoff menanggung seorang anak yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi dan isteri, manakala tiga anaknya sudah berkeluarga.