KUALA LUMPUR - Situasi politik terkini yang dilihat mengancam perpaduan rakyat berbilang kaum, perlu segera ditangani dengan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mencegah berlaku sebarang kemungkinan lebih buruk, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.
Menurutnya, situasi terkini yang mengaitkan isu perkauman begitu membimbangkan dan dikhuatiri tidak terkawal disebabkan kemarahan memuncak rakyat.
Justeru katanya, kerajaan perlu melaksanakan referendum bagi mengumpul suara rakyat untuk mengembalikan semula ISA di samping mengekalkan Akta Hasutan 1948 berikutan banyak perkara bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan isu sensitif dibangkitkan.
"Saya percaya apa berlaku hari ini, kebiadaban, keangkuhan dan sifat kurang ajar sesetengah pihak adalah disebabkan ISA telah dimansuhkan.
"Referendum rakyat diperlukan sama ada mahu kembalikan ISA atau tidak. Saya percaya majoriti akan menyokong kerana tiada siapa yang nak lihat negara huru-hara melainkan golongan minoriti. Bawa usul ini ke persidangan Parlimen akan datang.
"Jika ISA masih ada, ia akan menangani mereka yang suka buat kecoh. ISA boleh bertindak kepada mereka yang baling batu sembunyi tangan. Sekarang ini, yang baling batu nampak tangan pun susah nak ambil tindakan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung situasi terkini dalam negara termasuk isu yang dikaitkan dengan perkauman di negara ini antaranya kes kematian Syed Muhammad Danial Syed Shakir, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) serta beberapa perkembangan lain yang disifatkan sebagai satu bentuk tekanan buat rakyat.
Mengulas berhubung isu Dong Zong yang dilabel sebagai pertubuhan rasis, beliau menyifatkan kenyataan terbuka dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan bahawa pendirian yang telah disuarakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) selama ini adalah tepat.
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M kecam Dong Zong, sindir DAP
Katanya yang juga Presiden Perkasa, penafian dibuat DAP bahawa Dong Zong tidak rasis tidak boleh diterima pakai kerana jelas kenyataan dibuat Dong Zong yang menyifatkan perlaksanaan tulisan khat jawi di sekolah sebagai proses Islamisasi adalah rasis.
"Armada lancar petisyen untuk pengharaman Dong Zong, sedangkan mereka boleh desak pemimpin mereka yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Dong Zong diharamkan. Dr Mahathir dan Muhyiddin perlu menunjukkan ketegasan mereka dalam perkara ini.
"Saya percaya rakyat akan terima apa saja keputusan. Tak akan jadi isu perkauman jika dibuat dengan telus tanpa campur tangan politik. Terserah kepada kerajaan. Nak main politik atau nak jaga negara?” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim mengingatkan masyarakat agar tidak menjadikan penceramah Zakir Naik sebagai ‘punching bag’ terhadap situasi yang berlaku kini.
Ujarnya, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap isu-isu yang membabitkan umat Islam dan kepentingan orang Melayu.
"Apa yang sedang berlaku sekarang ini boleh diibaratkan sebagai api dalam sekam dan rakyat sudah mula hilang sabar. Saya sendiri sudah mula hilang sabar. Saya terpaksa berzikir sepanjang jalan bagi kawal kemarahan.
"Kembali kepada prinsip perjanjian kontrak sosial. Kalau tak puas hati, keluar dari Malaysia. Masing-masing ada negara. Kalau tak boleh hormat, batal kontrak sosial. Nak duduk Malaysia kenalah hormat. Tak boleh ke bertolak ansur?” katanya.