PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan rotan ke atas seorang bekas pendawai yang didapati bersalah merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita yang diberi minuman mengandungi ubat pelali.
Rayuan terakhir Sathisan Haridasan Nair, terhadap sabitan dan hukumannnya itu telah ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Has Zanah Mehat.
Menurut fakta kes, lelaki berusia 32 tahun itu, memberi mangsa minuman yang dimasukkan ubat pelali sehingga menyebabkan wanita itu pening dan lemah, muntah serta menggigil sebelum membawanya ke sebuah hotel.
Tindakan Sathisan telah dirancang terlebih dahulu kerana dia telah menawarkan peluang pekerjaan menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nama palsu"Sanjeevan".
Ibu mangsa yang menerima mesej berkenaan dalam kumpulan WhatsApp telah menghantarnya kepada anak perempuannya yang sedang mencari kerja pada masa itu.
Perayu telah meminta mangsa bertemu dengannya di KL Sentral untuk dibawa ke tempat latihan di Sunway.
Pada 2017, Mahkamah Sesyen di sini mendapati Sathisan bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan tiga sebatan rotan atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu berusia 21 tahun di sebuah hotel di
Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini antara jam 12.30 tengah malam hingga 4.30 petang pada 30 April, 2016.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dengan dua sebatan bagi pertuduhan melakukan seks luar tabii.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak Mahkamah Tinggi pada 9 Oktober tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Patricia Tan memohon mahkamah supaya menggunakan Seksyen 60 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menambah hukuman penjara atas alasan terdapat banyak kes yang serupa di mana pesalah memasukkan dadah ke dalam minuman mangsa.
Peguam K.A.Ramu yang mewakili Sathisan berhujah bahawa mangsa bersetuju dengan perbuatan itu dan tidak dipaksa oleh anak guamnnya. - Bernama