SEREMBAN - Laporan bedah siasat gadis warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dijangka diumumkan esok.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman berkata, ia berikutan proses bedah siasat yang dilakukan oleh kumpulan pakar patologi masih belum selesai.
" Proses bedah siasat telah bermula pada jam 11.45 pagi tadi dan sehingga sekarang masih belum selesai. Sehingga kini kita masih belum menerima keputusan sebab kematian mangsa.
"Tetapi saya tidak dapat pastikan sehingga jam berapa bedah siasat yang dikendalikan oleh Pakar Patologi Forensik dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng, Pakar Forensik HTJ, Dr Hanif Mohammad, Jabatan Kimia, Dr Aidora Saedon dan Jabatan Forensik, Sufian Arshad Ahmad akan selesai," katanya pada sidang media di Jabatan Perubatan Forensik, HTJ malam ini.
Sementara itu, ditanya pemberita adakah operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di lokasi pencarian, beliau berkata operasi masih berjalan.
ARTIKEL BERKAITAN: Wisma Putra bantu urus proses dokumentasi Nora Anne
Dalam pada itu, Che Zakaria berkata, tidak ada sebarang maklumat terkini yang beliau boleh laporkan berkenaan siasatan kes gadis itu buat masa ini.
Semalam, mayat perempuan yang ditemui berhampiran resort The Dusun Hill petang tadi sah milik gadis hilang sejak 4 Ogos lalu, Nora Anne Quoirin, 15.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu dibuat oleh keluarganya yang datang untuk tujuan pengecaman di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban malam semalam.