KUALA LUMPUR - Bangsa lain di negara ini tidak akan wujud sekiranya benar masyarakat Melayu dan Islam yang merupakan kaum majoriti di Malaysia adalah rasis.
Memetik laporan UMNO Online, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, bangsa lain seharusnya menghormati orang Melayu yang sanggup berkongsi hak tanpa sebarang prejudis.
"Kalau ikut sejarah negara ini memang milik Tanah Melayu, apabila dijajah ramai bangsa asing yang datang bekerja dan kemudian diserap sebagai rakyat.
"Kemudian, selepas merdeka, negara ini dibangunkan atas dasar kompromi dan semua kaum perlu hormat antara satu sama lain.
"Sebab itulah negara (Malaysia) membenarkan semua agama boleh dianuti tetap Islam agama (rasmi) negara ini. Oleh itu, hubungan erat antara semua kaum ini penting hormat menghormati antara satu sama lain agar negara dapat membangun dengan baik," katanya seperti dipetik UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu jemputan pada 'Wacana UMNO: Bangsa Dihina, Agama Dipersenda' anjuran Wanita UMNO di Auditorium UMNO di sini hari ini.
Musa berkata, tindakan masyarakat Melayu yang lantang bersuara apabila agama Islam dan hak-hak mereka dipersoal oleh kaum lain di negara ini bukan tindakan rasis.
"Islam dicabar dan apabila dicabar kita terpaksa bersuara, namun sayangnya apabila bersuara kita dituduh rasis.
"Kebelakangan ini ramai yang cuba hina agama Islam, ada pula yang perjuangkan hak mereka sendiri (kaum lain)," katanya.
Tambahnya, kekayaan negara tidak akan memberi apa-apa makna jika keharmonian dan keamanan negara tidak dipelihara.