Prebet Jantan tumpaskan komunis

Iklan
Jantan menunjukkan pingat Pingat Keberanian British Military Medal (MM) yang dikurniakan oleh Ratu Elizabeth.

MELAKA - Nama bekas Pegawai Waran 2, Jantan Baba memang jarang disebut, namun beliau pernah mengharumkan tanah air ini atas keberaniannya berjuang ketika negara diancam pengganas komunis.

Berusia 95 tahun, anak kelahiran Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah ini pernah dianugerahkan Pingat Keberanian British Military Medal (MM) oleh Ratu Elizabeth.

Iklan
Iklan

Jantan berkhidmat bersama tentera British selama 21 tahun dan pernah menembak mati tujuh anggota komunis dalam satu operasi di Kenaboi, Negeri Sembilan, malah ketika itu telinga kirinya ditembak pengganas tersebut.

Berbekalkan kelulusan darjah lima, Jantan mula mencebur diri dalam bidang ketenteraan dengan menyertai Rekrut Askar Melayu pada 1948 di Kem Port Dickson, Negeri Sembilan.

Iklan

Sebaik tamat latihan, beliau kemudiannya dihantar berkhidmat dengan Batalion Pertama Askar Melayu yang berpangkalan di Taiping, Perak di bawah Platun 8 Kompeni C.

Pingat Keberanian British Military Medal (MM)

Menurut Jantan, pengalaman pertama beliau ketika berhadapan dengan pengganas komunis ketika bertugas di Grik, Perak yang ketika itu di bawah pimpinan Sarjan Mohammed Yusof Ismail.

Iklan

"Platun menerima maklumat daripada individu kalangan kaum orang asli bahawa mereka didatangi pengganas komunis untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagai tindakan platun serta-merta digerakkan ke penempatan orang asli.

"Hasilnya pengganas berjaya ditawan hidup-hidup bersama selaras rifel dan peluru," katanya dalam satu temuramah khas yang diadakan bersama Sinar Harian dan TV3 baru-baru ini.

Menurut Jantan, sewaktu kompeninya beroperasi di Padang Cermin, Grik, pasukannya berjaya menawan seramai 94 orang pengganas komunis.

Gambar kenangan sewaktu berkhidmat di bawah Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)

Namun katanya, cabaran paling getir dialaminya pada 8 April 1951 ketika berkhidmat di Kem Kuala Kelawang, Negeri Sembilan apabila beliau dipilih menyertai satu operasi di Titi, Kuala Kelawang.

"Platun kami seramai 12 anggota yang dipimpin oleh Leftenan Muda PL Philcox bersama tiga buah kenderaan terdiri dari dua buah Land Rover dan sebuah trak membawa 23 orang anggota lain dengan diiringi sebuah kereta perisai dari Titi ke Kongkoi, Kenaboi melalui satu detik mencabar.

"Ketika itu kami mendapati sekumpulan penduduk berbangsa Cina yang mendakwa kad pengenalan mereka dirampas pengganas komunis kelihatan gembira. Reaksi mereka menyebabkan saya bersama rakan-rakan berasa curiga lantaran bersiap sedia," katanya.

Menurut Jantan, sangkaan mereka tepat apabila diserang hendap oleh pengganas komunis sehingga berlakulah aksi tembak menembak yang mengakibatkan enam anggota terkorban, manakala tujuh lagi termasuknya cedera.

"Ketika detik itu, lebih kurang jam 11 pagi Land Rover di hadapan dan trak membawa pasukan terhenti, saya berada di kenderaan kedua. Ramai yang cedera dan terkorban akibat serangan.

"Leftenan Muda PL Philcox sendiri pengsan kerana terkena serpihan bom manakala sebuah lagi kenderaan berundur bagi mendapatkan bantuan. Saya sendiri terpaksa mengambil alih kepimpinan pasukan selepas beberapa pegawai utama cedera," katanya.

Menurutnya, beliau berjaya menembak mati tujuh pengganas komunis dalam operasi tersebut dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Besar Seremban.

"Lantaran itu saya dianugerahkan Pingat Keberanian British Military Medal (MM) oleh Ratu Elizabeth," katanya.

Sewaktu Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1964, Jantan yang ketika itu berpangkat Sarjan turut bersama 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pernah ditugaskan di beberapa lokasi di Sabah.

"Saya kemudiannya meninggalkan 1 RAMD selepas dinaikkan ke pangkat Staf Sarjan dan ditugaskan ke Batalion Ke-9 yang baharu ditubuhkan di Kem Majidee, Johor.

"Apabila dinaikkan ke Sarjan Mejar, saya bertukar ke Batalion ke-11 Infantri di Batu Gajah, Perak," katanya.

Jantan sewaktu dipilih memegang cokmar ketika upacara pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika upacara pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Jantan diberikan penghormatan untuk memegang cokmar semasa detik bersejarah itu.

Jantan juga pernah dihantar ke England selama enam bulan bagi menyertai kawad hormat ketika pertabalan Ratu Elizabeth pada 1952.

Jantan bersara pada 1969 dengan jawatan terakhirnya sebagai Sarjan Mejar di Kem Batu Kentomen.

Beliau beruma tangga dengan Enon Ahmad pada 1947 dan dikurniakan lapan cahaya mata.

Jantan berkahwin buat kali kedua dengan Aminah Salleh setelah pemergian Allahyarhamah Enon pada 1975.