KELMARIN, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau berasa malu dengan keadaan tandas di Malaysia yang kotor dan berbau busuk.
Beliau yang membuat pemeriksaan mengejut di tandas awam menyelar sikap negatif pengguna yang mencerminkan sikap rakyat Malaysia tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Dr Mahathir kecewa dengan realiti sebahagian besar sikap rakyat negara ini.
Masalah tandas awam kotor bukan perkara baharu. Boleh dikatakan tujuh daripada 10 tandas awam di Malaysia boleh dikategorikan sebagai kotor manakala tiga daripadanya sederhana bersih. Jarang untuk kita jumpa sebuah tandas awam yang boleh dipuji tahap kebersihannya.
Kita biasa dengar pengguna merungut terpaksa membayar untuk masuk ke tandas awam tetapi keadaan dalam tandas menjijikkan. Kita juga biasa mendengar rungutan pekerja tandas awam mengenai sikap pengguna yang tidak tahu menjaga kebersihan.
Tisu dibuang ke dalam mangkuk tandas, tuala wanita atau lampin pakai buang berselerak, air bertakung. Jika dilihat dari segi fizikal keadaan itu, adakah pekerja tandas makan gaji buta atau pengguna yang merosakkan keadaan?
Agak pelik apabila orang kita boleh pula mengikut peraturan dan undang-undang di negara orang tetapi seperti tiada tamadun di negara sendiri. Barangkali sudah sampai masanya negara kita membuat satu peraturan yang lebih berat berkaitan isu kebersihan. Sebab, ramai sangat yang jenis tidak makan saman!
Apa pun, tahniah kepada orang Terengganu dan pengguna negeri lain yang pernah masuk ke Tandas Awam Sungai Tarom dan Tandas Awam Caltex Sungai Tong. Dua tandas awam di Setiu itu memenangi kategori Pengiktirafan Tandas Awam Bersih 2019 sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia 2019.
Tandas Awam Sungai Tarom dekat Bandar Permaisuri memenangi tempat pertama kategori pihak berkuasa tempatan (PBT). Tandas Awam Caltex Sungai Tong memenangi kategori stesen minyak. Ini membuktikan masih ada pengguna yang tahu makna bersih.
Tandas di Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 di Perak juga boleh dijadikan contoh. Bayangkan sebuah bilik pengantin dengan haruman bunga rampai, itulah keadaannya saat berada dalam tandas sekolah berkenaan. Jika murid yang masih kecil mampu patuhi peraturan, kenapa tidak kita!