BANGKOK - Polis Thai percaya suspek yang terlibat dalam siri pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos lalu merangka rancangan mereka di sebuah negara jiran.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan berkata, siasatan menunjukkan beberapa orang daripada suspek melarikan diri ke negara jiran selepas letupan itu.
"Kami percaya ada beberapa orang lagi suspek. Bagaimanapun, mereka melarikan diri ke negara jiran.
"Polis akan menyelaras langkah dengan rakan (di negara jiran),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang tidak menyatakan nama negara jiran berkenaan menjelaskan pihaknya mencapai kemajuan dalam siasatan mereka.
Sementara itu, timbalan jurucakap polis, Kolonel Krissana Pattanacharoen berkata, empat suspek didakwa hari ini melakukan pembakaran, memiliki bahan letupan secara haram dan terlibat dalam jenayah terancang.
Setakat ini, enam lelaki dituduh berhubung pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa letupan kecil di Bangkok, empat cedera
Polis Thailand buru 10 suspek insiden siri bom di Bangkok
Pada hari kejadian, polis menemui sembilan bom, termasuk bahan yang belum meletup, di lima lokasi di ibu negara ini selepas beberapa letupan kecil mencederakan empat orang ketika Bangkok menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean. - Bernama