Setiausaha politik Kit Siang terima ugutan bunuh

Iklan
Tangkap layar mesej ugutan yang diterima melalui Facebook dikongsikan Syahredzan di Twitter miliknya.

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Syahredzan Johan menerima ugutan bunuh daripada seorang pengguna media sosial dipercayai susulan kenyataan yang dikeluarkan berkaitan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik.

Syahredzan yang juga peguam dan aktivis, menerusi ciapan di Twitter memaklumkan mesej peribadi berhubung ugutan itu diterimanya semalam di Facebook.

Iklan
Iklan

Beliau turut berkongsi tangkap layar ugutan tersebut yang berbunyi,'Kau usir Zakir Naik, aku akan cari kau sampai dapat dan aku akan pisahkan kepala babi kau tu dari badan kau. Ini sumpah kau demi agama Islam dan bangsa Melayu. Kalau berani cubalah'.

"Saya mendapat ini (ugutan) di Facebook. Tidak pasti apa kuasa yang dia fikir saya ada," ciapnya di Twitter, semalam.

Iklan

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, Syahredzan memaklumkan akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

"Saya terkejut bahawa seseorang akan berkata demikian, saya tidak meminta Zakir dihantar pulang atau diekstradisi. Saya hanya mencadangkan supaya status penduduk tetapnya dibatalkan.

Iklan

"Mudah-mudahan ia cuma ancaman kosong dari penyokong yang beremosi," katanya kepada portal berita tersebut.

Terdahulu, Syahredzan dalam satu kenyataan mencadangkan agar status penduduk tetap (PR) Zakir dibatalkan susulan kenyataan pendakwah itu baru-baru ini yang dianggap menghina masyarakat Cina dan India di Malaysia.

Menurutnya, ada pihak yang risau jika Zakir dihantar pulang ke India kerana beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil untuk pertuduhan terhadapnya serta terdapat kekhuatiran nyawa pendakwa kontroversi itu mungkin dalam bahaya jika pulang ke negara asal.

"Untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini itu, kerajaan boleh dengan secepat mungkin membatalkan status PR yang dimilikinya. Dengan cara ini, Zakir boleh dengan sendiri mencari negara lain yang dapat memberi perlindungan kepadanya dan meninggalkan Malaysia," kata Syahredzan menerusi kenyataan itu.