SEREMBAN - Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan (PVATM) menuntut kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang mengeluarkan kenyataan memperlekehkan pengorbanan anggota tentera di negara ini.
Timbalan Yang Dipertuanya, Adnan Ahmad berkata, kenyataan tersebut adalah satu penghinaan kepada semua anggota tentera negara ini.
"Walaupun Yew Yin telah membuat kenyataan maaf, laporan polis terhadapnya tetap diteruskan atas prinsip undang-undang dan berharap peguam negara mengambil tindakan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menutup terus akaun Facebook milik Yew Yin.
"Veteran ATM mengharapkan kerajaan mengambil tindakan sepertimana lunas undang-undang yang sedia ada dan veteran ATM sentiasa berada di belakang kerajaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, dua laporan polis dibuat persatuan ini di Balai Polis Seremban 2, hari ini diiringi 15 ahlinya juga wakil cawangan persatuan.
Adnan berkata, pihaknya berasa terhina akan kenyataan yang dikeluarkan Yew Yin kerana beliau sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan yang berbentuk dakyah dan provokasi sehingga menyinggung perasaan anggota tentera sama ada yang sedang berkhidmat dan veteran yang selama ini bertungkus lumus menjaga keamanan serta keselamatan negara.
"Provokasi seperti ini bukan pertama kali dibuat oleh Yew Yin dan kami tidak mahu keadaan ini berulang sekiranya tidak dibendung lebih awal," katanya.
Tegasnya lagi, pihaknya juga menuntut kerajaan berlaku adil kepada anggota ATM yang masih bertugas ataupun sebaliknya dengan mengambil tindakan tegas terdapat Yew Yin.
Melalui laman blog kendalian ahli perniagaan itu sendiri, Yew Yin meminta agar kerajaan memecat penjawat awam dan menyemak semula senarai kakitangan di sektor kerajaan.
Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan warga ATM hanya tahu ‘makan dan tidur’ sahaja.
Bagaimanapun selepas mendapat kecaman ramai, ahli perniagaan, Koon Yew Yin akhirnya menarik balik kenyataannya terhadap ATM yang menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak.
Dalam satu kenyataan di laman blognya hari ini, Yew Yin berkata, beliau juga meminta maaf kepada anggota tentera yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.