KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memeterai perjanjian persefahaman dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi menjalankan kajian pemakanan terhadap atlet sukan angkat berat Terengganu.
Kerjasama itu merangkumi pembangunan produk makanan ‘energy bar’ yang akan dijadikan sebagai makanan tambahan.
Naib Canselor Unisza, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, perjanjian selama dua tahun itu bermula Disember ini sehingga 2020, dengan kos permulaan sebanyak RM60,000.
"Kami berterima kasih kepada YPKT yang membenarkan Unisza menjalankan kajian yang amat penting ini, kerana kami rasakan untuk atlet sukan angkat berat khususnya, mereka perlu memastikan sistem pemakanan yang betul dan lebih baik.
"Pada masa sama, Unisza ada kepakaran dalam bidang sains kesihatan dan pemakanan yang dapat membantu atlet memperbaiki dan mengatur sistem pemakanan dengan lebih baik melalui pengambilan ‘energy bar’ ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Meraikan Atlet Angkat Berat Sukma Perak Ke-19 dan Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu, di YPKT, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa yang juga Presiden Persatuan Angkat Berat Terengganu.
Untuk peringkat permulaan, seramai 40 atlet angkat berat yang akan beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada 2020 akan menjadi kumpulan pertama yang diberikan formulasi tersebut.
Formulasi itu katanya, bukan sahaja mampu mengawal berat badan, tetapi ia juga dapat meningkatkan stamina atlet.
"Antara lima hingga 10 penyelidik Unisza daripada pelbagai bidang akan bertanggungjawab menghasilkan ‘energy bar’ ini termasuk daripada bidang diabetik, fisioterapi dan bio perubatan.
"Ia telah siap dan akan diagih kepada atlet bermula Januari depan. Sepanjang tempoh itu, kita akan pantau atlet yang mengambilnya.
"Ia termasuklah mendapatkan maklum balas mengenai rasa, kuantiti dan tahap kekenyangan selepas pengambilan produk tersebut, sehingga kepada penilaian tentang kesan jangka panjang produk tersebut kepada prestasi atlet dengan melihat kepada proses sintesis protein dalam badan,” katanya.
Jelasnya lagi, kajian itu turut melibatkan pakar dalam bidang sains kesihatan, sains perubatan dan farmasi yang mampu untuk mengesan jenis makanan yang mengandungi bahan terlarang, seterusnya dapat mengelak isu doping dalam kalangan atlet, akibat mengambil makanan tambahan.