Sampel DNA keluarga warga Singapura diambil

Iklan
Haris Fadzillah (kanan) pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong, Endau hari ini.

MERSING - Sampel ujian deoksiribonukleik (DNA) telah diambil daripada keluarga warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau Mersing susulan penemuan mayat wanita yang lengkap memakai jaket keselamatan oleh nelayan di perairan Kemaman Terengganu petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, keluarga wanita itu sudah berada di Hospital Kemaman bagi membuat pengecaman terhadap mayat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Tetapi mereka belum melihat mayat wanita yang dijumpai itu dan hanya melihat menerusi gambar yang disediakan pihak hospital.

"Sampel ujian DNA sudah diambil daripada keluarga pada 10 pagi tadi untuk dilakukan perbandingan dan kita masih menunggu keputusannya,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong, Endau hari ini.

Iklan

Haris Fadzillah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketujuh hari ini diperluaskan sehingga ke perairan Kerteh, Terengganu.

Menurutnya, kawasan pencarian di laut melibatkan penggunaan tiga aset daripada pelbagai agensi yang merangkumi kawasan seluas 500 batu nautika perairan Kuantan sehingga ke Kerteh.

Iklan

"SAR yang bermula 8 pagi hari ini melibatkan kekuatan seramai 32 anggota pelbagai agensi memandangkan sektor pencarian sudah dikecilkan iaitu yang ditumpukan di kawasan yang berkemungkinan tinggi mangsa berada berikutan penemuan kayak di perairan Kuantan dan mayat wanita.

"Penggunaan aset udara juga sudah tidak diperlukan kerana memadai hanya penggunaan aset laut di kawasan sekitar 500 batu nautika persegi berkenaan. Pangkalan Hadapan Carilamat Kemaman juga akan dibuka dalam masa terdekat, namun pangkalan di Jeti Penyabong akan terus beroperasi bagi menyalurkan informasi kepada sebahagian anggota keluarga mangsa yang masih berada di jeti tersebut," katanya.

Katanya dalam masa sama, sebuah bot Pengawal 43 milik APMM masih melakukan rondaan di sekitar perairan Endau manakala pencarian di pesisir pantai turut dilakukan meliputi pantai Kuala Kemaman sehingga ke Paka.

Terdahulu, Khamis lalu seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan antara Pulau Sri Buat, Pahang, dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.