KOTA BHARU - Dua beradik yang bekerja sebagai pemandu lori sayur bersama ibu mereka yang berusia 62 tahun ditahan selepas penemuan empat bungkusan heroin seberat 1.5 kilogram (kg) di Kampung Tok Buak Tendong, Bunut Susu, Pasir Mas di sini Selasa lalu.
Heroin bernilai RM140,000 itu ditemukan bersama 400 botol lut sinar bertudung kuning masih kosong yang disorokkan atas siling rumah mereka.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, hasil maklumat awam sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Pasir Mas melakukan serbuan pada jam 11.30 malam dan menahan wanita warga emas terbabit bersama dua anak lelakinya yang berusia 30 serta 22 tahun.
Katanya, pemeriksaan di dalam rumah menjumpai bungkusan plastik berisi botol kosong bertudung kuning bersama sudu besi, topeng muka dan sarung tangan getah di bahagian atas siling.
"Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua MyVi berwarna biru menjumpai empat bungkusan plastik bertulis Double Uoglobe Brand berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.
"Dadah tersebut dipercayai baru sahaja diambil di pangkalan haram di Rantau Panjang dan akan diisi ke dalam setiap botol yang dijual dengan harga RM300 sebotol di sekitar pasaran Pasir Mas serta Kota Bharu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Beliau berkata, dua beradik berkenaan bekerja sebagai pemandu lori sayur keluar masuk dari Thailand ke Malaysia dan pada masa sama dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak enam bulan lalu.
"Urin dua beradik berkenaan negatif dadah namun masing-masing ada rekod lampau berkaitan dadah. Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,886 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1998.
"Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, tiga nelayan termasuk dua warga kemboja positif dadah berusia antara 30 dan 34 tahun ditahan dalam sebuah bot di Jeti Pangkalan Mega, Tok Bali, Pasir Puteh pada jam 9 pagi kelmarin.
"Pemeriksaan dalam ruang penyimpanan barang menemui satu beg pinggang berisi 1,000 pil kuda dan 17.57 gram syabu bernilai RM12,635.
"Polis turut menyita kereta Ford Ranger, Suzuki Swift, motosikal Yamaha 125ZR dan dua helmet J-Force II bernilai RM105,000 manakala kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Polis turut menahan seorang suspek lelaki berusia 29 tahun bersama 112 dadah pil kuda bernilai RM1,680 dalam serbuan di tepi jalan Kampung Bukit Temalong, Gunung, Bachok, jam 2.20 petang semalam.
Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 18 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.