SEREMBAN - Bukan ganjaran yang diharapkan, sebaliknya mereka sekadar mahu membantu selepas mengetahui berita kehilangan gadis warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang dari resort penginapannya di Pantai di sini, 4 Ogos lalu.
Demikian menurut Kenny Chan, 43, yang merupakan salah seorang kumpulan pendaki menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne dan antara terawal tiba ke lokasi penemuan mayat remaja terbabit, Selasa lalu.
Dia berkata demikian ketika ditanya Sinar Harian berhubung ganjaran RM50,000 yang ditawarkan oleh keluarga gadis itu kepada sesiapa yang menjumpai Nora Anne.
"Kami memang biasa adakan aktiviti mendaki dan apabila mengetahui berita kehilangan warga Ireland itu, kami sepakat membantu dan telah menyertai operasi SAR selama tiga hari.
"Kami tak tahu pun soal ganjaran yang ditawarkan keluarga pada waktu itu sehinggalah rakan saya bertanya, adakah niat kami sertai SAR kerana duit," katanya.
Malah Kenny yang aktif aktiviti pendakian berkata, mereka akan menolak wang ganjaran itu jika keluarga gadis berkenaan terus berhasrat memberinya.
"Saya ingin tegaskan kumpulan kami seramai 25 orang menyertai SAR itu dengan ikhlas membantu bukan kerana wang.
"Saya sendiri secara peribadi tidak memikirkannya lebih-lebih lagi remaja berkenaan ditemui telah meninggal dunia," katanya.
Selasa lalu, Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai 2.5 kilometer dari resort penginapannya bersama keluarga di The Dusun Pantai Hill di sini.
Hari ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, punca kematian Nora Anne adalah disebabkan oleh kebocoran pada usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan.
"Pakar patologi juga telah mengesahkan Nora Anne telah meninggal dunia antara dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada hari ke-10 operasi SAR," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nora Anne tidak dirogol, diculik
Kumpulan pendaki jumpa mayat Nora Anne, tak berani dekati