Kudung bukan halangan cari rezeki halal

Iklan
Gambar Syed Syahrain di Instagramnya.
SUNGAI BULOH - Kudung kedua tangannya tidak menjadi penghalang untuk pemuda ini mencari rezeki berbanding meminta sedekah.

Kisahnya tular di Twitter setelah dimuatnaik Pocket Guy hingga mencuri perhatian netizen yang rata-rata mengaguminya.

Menjadi kelaziman Syed Syahrain Syed Fadzil, 24, menunggang motosikal dalam keadaan serba kekurangan.

Menurut Pocket Guy, dia berasa bangga kerana masih ada anak muda berusaha gigih mencari pekerjaan halal tanpa rasa malu mahupun rendah diri atas kekurangan pada diri.

Syed Syahrain kehilangan kedua tangannya pada 2003 kerana terkena letupan berhampiran Penjara Sungai Buloh.

Ketika ditanya pernah ditimpa kemalangan mahupun diherdik semasa bekerja, kata Syed Syahrain, perkara itu belum berlaku kepadanya sebaliknya masyarakat bertanya bagaimana dia menunggang motosikal.

Jika dilihat Instagram miliknya, pelbagai aksi menunggang motosikal dimuatnaik sekaligus menyifatkan anak muda ini tidak gentar dengan cabaran.

Syed Syahrain juga tanpa segan memilih pekerjaan sebagai penghantar makanan yang sememangnya perlu bertemu dengan orang ramai.

Netizen juga menyokong usahanya untuk terus berdikari tanpa mengharapkan bantuan dari pihak lain.

Terdapat juga segelintir netizen menyindir masyarakat pada masa kini yang tidak bersyukur walaupun sempurna.