TAIPING - Semua kerajaan negeri diminta mempercepatkan urusan permohonan penukaran ubah syarat nyata status tanah lebih 30,000 pekebun sawit kecil di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebelum 31 Disember 2019.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, semua pekebun sawit kecil persendirian perlu segera berdaftar dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi membolehkan agensi kerajaan terbabit mengenal pasti masalah permohonan ubah syarat status tanah mereka untuk dikumpulkan.
Menurutnya, ketika ini kementeriannya sedang giat mengumpulkan keseluruhan senarai pekebun sawit kecil yang mempunyai masalah tanah secara kolektif bagi membolehkan mereka dibantu secara sekali gus dengan kerjasama kerajaan negeri di seluruh negara.
"Berdasarkan beberapa taklimat MSPO sebelum ini, kita menyedari kegusaran pekebun sawit kecil persendirian di mana kebanyakan kebun atau ladang tanaman sawit mereka berdepan masalah status tanah yang merupakan sebahagian syarat utama bagi mendapatkan persijilan MSPO.
"Sekurang-kurangnya 30,000 hingga 40,000 golongan itu daripada keseluruhan lebih 250,000 pekebun kecil di seluruh negara dikenal pasti berdepan dengan masalah tanah di mana di Perak sahaja melibatkan seramai 3,000 pekebun kecil persendirian.
"Sebenarnya isu ini memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan saya dalam proses bertemu dengan kesemua menteri besar dan ketua menteri bagi meminta semua kerajaan negeri membantu mempercepatkan proses kelulusan permohonan ubah syarat nyata tanah dihadapi kesemua pekebun sawit ketika ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis taklimat MSPO di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pegawai Operasi MPOCC, Chew Jit Seng dan Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim.
Teresa berkata, selain masalah status tanah, pihaknya turut mengenal pasti terdapat penanam sawit yang memiliki keluasan kebun atau ladang lebih 100 ekar di negara ini, namun tidak dapat dikesan MPOB kerana tidak berdaftar dengan agensi itu.
"Saya menyeru kepada kesemua pekebun dan pemilik tanaman sawit di negara ini untuk tampil segera berdaftar dengan dan MPOCC bagi mempersijilkan tanaman sawit masing-masing ke arah mencapai status minyak sawit 100 peratus mampan.
"Sebenarnya MPOCC juga menerima permohonan persijilan MSPO dibuat pengusaha sawit yang sedang dalam urusan permohonan ubah syarat nyata tanah tanpa perlu menunggu permohonan itu diluluskan.
"Paling penting kerajaan hendak tunjukkan kepada dunia betapa seriusnya usaha negara dalam memastikan produk minyak sawit keluaran negara 100 peratus mampan, sekali gus diterima pakai di seluruh dunia tanpa sebarang keraguan," katanya.