SEREMBAN - Lokasi operasi mencari dan menyelamat SAR, Nora Anne Quoirin, 15, berhampiran resort The Dusun Pantai Hill didapati sudah lengang.
Jika sebelum ini laluan masuk ke resort berkenaan ditutup namun tinjauan jam 3.30 petang tadi mendapati tiada lagi garisan kuning polis.
Tok Batin Kampung Kolam Air, Ali Ngogor, 56, berkata, kawasan itu tidak lagi sibuk seperti 10 hari yang lalu selepas mayat Nora Anne ditemui.
"Saya nampak tinggal beberapa kumpulan polis masih melakukan siasatan di lokasi, tak tahu lah...selepas ini.
"Saya harap kes kehilangan Nora Anne ini tidak menjejaskan untuk orang ramai datang ke sini terutamanya mendaki ke Gunung Berembun yang tidak jauh dari lokasi resort dia menginap," katanya.
Sinar Harian mengambil peluang memasuki sehingga ke pintu masuk resort iaitu lokasi yang dipercayai keluarga Nora Anne menginap dan kawasan itu juga lengang.
Hanya terdapat seorang anggota polis yang mengawal laluan masuk bersebelahan resort.
Hari ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, punca kematian gadis Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang 4 Ogos lalu disebabkan kebocoran pada usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan.
Menurutnya, pakar patologi juga telah mengesahkan Nora Anne telah meninggal antara dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada hari ke-10 kira-kira 2.5 Kilometer dari resort penginapannya.
ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Nora Anne tidak dirogol, diculik