PORT DICKSON - Dengar saja perkataan Port Dickson, apa yang anda bayangkan? Pastinya keindahan pantai, lautan membiru serta desiran ombak menerjah fikiran anda. Namun, tahukah anda sebenarnya bukan pantai, laut atau makanan sahaja menjadi tarikan di sana. Bagaimana jika penulis beritahu anda boleh ‘meneropong’ bintang di Port Dickson? Tak percaya? Bagaimana pula jika penulis beritahu sebuah teleskop gergasi, bernilai jutaan ringgit, antara terbesar di Malaysia ada di Port Dickson. Ya, semuanya ada di Balai Cerap Telok Kemang. Cukup sekadar menikmati keajaiban alam kerana alam semesta itu sangatlah luas dan indah. Itulah yang penulis rasakan ketika bertemu Penolong Pengurus Balai Cerap Telok Kemang, Muzamir Mazlan. Mendengarkan kisahnya mengoperasikan balai itu, dihiasi gambar bintang, planet, aurora, matahari, kilat dan banyak lagi. Jelasnya, balai tersebut beroperasi setiap hari dan bayaran dikenakan kepada pengunjung untuk memasuki balai tersebut namun syaratnya, hanya 30 orang dalam satu masa. Ujarnya, pengunjung boleh menjalankan aktiviti cerapan matahari iaitu melihat matahari pada jam 3 petang hingga 5 petang, manakala cerapan bintang pada jam 10.30 malam hingga 12.00 malam."Ia bergantung kepada cuaca. Kalau hujan, kita tidak benar pengunjung guna teleskop tapi ruang pameran tetap ada."Gambar yang kami ada menarik minat pelbagai pihak malah kami pernah dihubungi laman web luar negara. Mereka minta kebenaran untuk guna gambar dari balai cerap ini,” katanya kepada Sinar Harian. Tambahnya, terdapat beberapa balai cerap di Malaysia dan teleskop di Telok Kemang merupakan alat termoden, termahal dan mampu dijadikan tarikan pelancongan di Port Dickson dan Negeri Sembilan.
Penulis ketika meninjau Balai Cerap Telok Kemang.