Turunkan bendera Union Jack

Iklan
Mohd Yusuf bersama koleksi gambar pemimpin negara yang berjuang dan mengerah keringat demi tanah air tercinta.

SABAK BERNAM - Meskipun sudah lama berlalu, detik bersejarah menyambut kemerdekaan negara 31 Ogos 1957 sentiasa terpahat dalam ingatan Datuk Mohd Yusuf A Latib, 85.

Ketika itu, Mohd Yusuf baharu berusia 23 tahun dan berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah Melayu di Sabak Bernam, Selangor.

Iklan
Iklan

Mohd Yusuf antara 10 pemuda UMNO di Sabak Bernam yang tidak sabar untuk melihat kemerdekaan negara selepas dibelenggu penjajahan selama 446 tahun.

Menurut Mohd Yusuf, dirinya masih dapat menggambarkan satu persatu detik sambutan kemerdekaan itu.

Iklan

"Dahulu hendak ke Kuala Lumpur amat mencabar, apatah lagi Sabak Bernam daerah terputus hubungan jalan darat.

"Tapi, demi semangat cintakan negara, saya ketepikan kepayahan itu semata-mata ingin melihat negara ini bebas daripada cengkaman kuasa luar,” katanya.

Iklan

Katanya, beliau bersama rakan ketika itu sekitar jam 8 pagi menyusuri Sungai Bernam menaiki bot dari Sabak Bernam menuju ke Hutan Melintang, Perak."Dari sana (Hutan Melintang) kami menunggu bas ke Teluk Intan

sebelum ke Tapah Road mendapatkan tiket kereta api ke Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, sejurus tiba di Kuala Lumpur, beliau dan rakan menumpang di asrama sebuah sekolah sebelum bergerak ke Padang Kelab Selangor.

Menurut Mohd Yusuf, lebih membanggakan, beliau ialah antara 100 pemuda ditugaskan berbaris sambil memegang tali istiadat penurunan bendera Union Jack pada malam bersejarah berkenaan.

"Sebaik bendera Union Jack diturunkan tepat jam 12 tengah malam, air mata saya tumpah mengenang betapa sukarnya Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali Malaysia) mendapatkan kemerdekaan,” katanya.

Katanya, keesokannya pula, beliau berarak menuju ke Stadium Merdeka bagi menyaksikan sendiri pengisytiharan kemerdekaan.

"Saya masih ingat, ramai bersesak-sesak walaupun pagi itu hujan, namun langsung tidak melenturkan semangat kami untuk menyaksikan sejarah tanah air.

"Walaupun, saya berada dalam kumpulan yang ramai tapi dapat saksikan sendiri Tungku Abd Rahman Putra Al-Haj menerima watikah Perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan dan melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali bersama-sama rakyat berbilang kaum ketika itu.

"Dalam perjalanan pulang ke kampung Sabak Bernam, kami bersorak kerana sangat gembira dan lebih penting saya dapat merasai sendiri bagaimana sejarah negara ini terbentuk,” katanya sambil tersenyum.