SHAH ALAM - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyiasat aduan mangsa samun yang mendakwa polis lewat tiba di lokasi berlaku kejadian samun di Taman New Green Park, Rawang dekat sini pada 5 Ogos lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati anggota polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang dikejarkan ke tempat kejadian telah tiba di taman perumahan berkenaan lebih awal daripada didakwa mangsa, namun anggota MPV telah tiba dan memeriksa rumah yang salah.
"Hasil siasatan JIPS mendapati polis yang bertugas dipercayai tersilap ke lokasi kejadian. Polis telah pergi ke tempat, taman perumahan dan lorong yang sama, namun tersilap nombor rumah.
"Polis ke hujung lorong sebelah kiri jalan sedangkan lokasi kejadian samun adalah di hujung lorong kanan di Jalan 2/6 taman berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Huzir berkata, susunan nombor rumah di kawasan perumahan itu didapati kurang teratur berbanding perumahan lain dan dipercayai menjadi punca anggota MPV itu tersilap rumah.
"Ditambah apabila sampai di lokasi yang silap, pintu pagar rumah berkenaan terbuka dan lampu dalam keadaan menyala, polis berhenti kerana beranggapan rumah itu rumah mangsa yang sedang dipecah masuk.
"Salah seorang daripadanya telah ke bahagian belakang rumah untuk tindakan seterusnya.
"Polis kemudian sedar rumah berkenaan bukan lokasi sebenar kejadian apabila sebuah kereta lalu di sebelah MPV polis dan mangsa yang ketika itu pada jarak sekitar 500 meter melambai dan menjerit memanggil polis," katanya.
Huzir menambah, anggota yang terlibat kini masih lagi melakukan tugas rondaan seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan lengkap JIPS.