ALOR SETAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri Kedah menanggung kerugian jutaan ringgit bagi membaik pulih bekalan elektrik yang terjejas akibat tempias taufan Lekima, Jumaat lalu.
Pengurus Besar TNB Kedah, Wan Ishak Soed berkata, nilai kerugian sebenar masih dikaji yang melibatkan beberapa faktor seperti jumlah pekerja, peralatan, kelengkapan dan lain-lain lagi.
Menurutnya, sejak Jumaat lalu, pihaknya menerima sebanyak 3,079 aduan yang kebanyakannya adalah disebabkan tiang tumbang dan wayar elektrik terputus.
"Bagaimanapun kesemua aduan berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang hari ketiga kejadian terbabit.
"Alhamdulillah,kita juga menerima bantuan tenaga daripada Melaka, Selangor dan Klang yang membantu melancarkan kerja-kerja baik pulih," katanya pada sidang media di Program Dialog Harapan Bersama Makmurkan Kedah-Kerja Raya,Sumber Air, Bekalan Air dan Tenaga di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
Wan Ishak berkata, aduan paling tinggi direkodkan adalah di Sungai Petani dan diikuti oleh Langkawi.
"Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan berkenaan insiden renjatan elektrik dan sebagainya. Bagaimanapun saya nasihatkan orang ramai sekiranya berlaku kejadian tiang elektrik tumbang ketika ribut, tolong jauhi kawasan berkenaan.
"Kerana wayar yang jatuh itu masih lagi hidup. Jangan sesekali ambil tindakan sendiri sebaliknya segera hubungi talian TNB Careline 15454 untuk bantuan," katanya.
Sementara itu, dialog yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri oleh Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Zamri Yusuf yang sempat berdialog bersama pemimpin setempat.
Zamri berkata, kerajaan negeri akan memastikan 10,000 akaun di seluruh negeri ini yang masih mengalami gangguan bekalan air akan diselesaikan secara berperingkat.
Katanya, kebanyakan mereka tinggal di kawasan tinggi dan menyebabkan berlakunya tekanan air rendah.
"Ada yang tinggal di kawasan tanah tinggi dan menggunakan air masyarakat yang kita sedia maklum ada kekangannya yang tersendiri, selain itu gangguan ini juga disebabkan paip lama yang perlu ditukar.
"Kita akan selesaikan secara berperingkat apabila peruntukan sudah ada," katanya.