Terlerai persoalan, lapar, stres punca Nora Anne maut

Iklan

[DIKEMASKINI] REMAJA warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di hutan di sini ditemukan mati pada Selasa, disahkan meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata Nora Anne mungkin telah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda-tanda perbuatan jenayah selain remaja itu tidak dirogol.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian kepada media di sini hari ini susulan hasil bedah siasat ke atas mayat Nora Anne yang jasadnya ditemui pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat besar-besaran yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Sidang media Che Zakaria Othman. - Foto Bernama

Semasa ditanya sama ada terdapat tanda-tanda keganasan pada tubuh atau remaja itu menjadi mangsa penculikan, Mohamad menjawab tidak.

Iklan

"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati remaja itu mati akibat kebocoran usus mungkin akibat tidak ada makanan dalam tempoh yang panjang dan stres berpanjangan,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian dua minggu dekat sini.

Iklan

Apa yang menimpa remaja anak istimewa itu, yang bapanya dari Perancis dan ibunya dari Ireland, telah menyentuh hati bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga mereka di luar negara, dengan ramai yang mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap usaha pasukan mencari dan menyelamat Malaysia yang bertungkus lumus mencarinya di dalam hutan tebal.

ARTIKEL BERKAITAN: Nora Anne tidak dirogol, diculik

Kes ini juga menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merakamkan dukacita atas kematian Nora Anne.

Seri Paduka berdua turut mengucapkan takziah dan simpati kepada ibu bapa Nora Anne, saudara kandung dan kaum keluarganya.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne bermula pagi semalam dan berlarutan sehingga malam tadi, melibatkan pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dibantu pakar dari Jabatan Kimia, dan Jabatan Forensik Petaling Jaya.

Nora Anne

Mengulas lanjut, Mohamad berkata:"Tidak ada kesan atau tanda Nora Anne dirogol. Tiada koyakan pada selaput dara. Ada sedikit calar-calar dan luka-luka kecil di kaki Nora Anne namun ia tidak menjurus kepada kematian kepada mangsa,”

Beliau sekali gus berkata polis akan mengesan pemilik akaun Twitter yang menyebarkan berita kononnya Nora Anne telah dirogol.

Beberapa sampel (tisu) dari tubuh Nora Anne telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut," kata Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Nora Anne ucap terima kasih

Ditanya bila mayat Nora Anne akan dituntut, ketua polis negeri itu berkata ia bergantung kepada keluarga mangsa untuk berbuat demikian.

"Tiada tempoh masa sehingga bila mayat boleh dituntut dan mereka (keluarga) boleh tuntut pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan masih dilakukan mengikut kategori kes orang hilang.

Suasana sekitar lokasi kejadian.

Berhubung laporan mengenai polis Perancis telah membuka siasatan terhadap kes Nora Anne, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui perkara itu.

Namun beliau berkata polis Perancis, Ireland dan England sememangnya membantu polis Malaysia dalam siasatan kes berkenaan.

Nora Anne bersama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu dan mendaftar masuk di eko-resort itu pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.

Pada awalnya, keluarga remaja itu yakin Nora Anne dilarikan tetapi polis mengklasifikasikannya sebagai kes orang hilang memandangkan tiada bukti yang menyokong dakwaan tersebut.

Operasi SAR melibatkan pelbagai pihak berkuasa seperti polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam serta Orang Asli selain pendaki sukarelawan yang melalui pelbagai cabaran memandangkan kawasan terlibat adalah kawasan hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Lakaran SAR Nora Anne

Semasa pencarian itu, segala usaha dilakukan, menggunakan helikopter dan dron yang dilengkapi peralatan canggih serta rakaman suara ibunya memanggil remaja itu dengan panggilan manja yang dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

Keluarga Nora Anne juga menawarkan ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan gadis itu.

Ketika pencarian giat dilakukan, rakyat Malaysia tidak putus berdoa agar gadis itu ditemui. -Bernama