Warga emas maut, kereta bertembung treler

Iklan
Keadaan kereta Vios dinaiki mangsa maut selepas terlibat kemalangan.

KOTA TINGGI - Seorang warga emas maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM65.5 Jalan Johor Bahru-Mersing petang tadi.

Kejadian kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan Cheng Tek Kiah, 75, dari Jemaluang, Mersing maut di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, kemalangan melibatkan Toyota Vios dinaiki mangsa dengan lori treler jenis Scania dan lori treler jenis Volvo.

"Hasil siasatan awal dijalankan di tempat kejadian didapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dari arah Mersing menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan ketika melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan.

Iklan

"Pada masa yang sama lori treler Scania yang dari arah Kota Tinggi Menghala ke Mersing tidak dapat mengelak dan melanggar Toyota Vios.

"Manakala lori treler Volvo yang berada di belakang lori treler Scania telah melanggar tangki lori terbabit dan menyebabkan lori berkenaan terbabas ke dalam semak sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran tersebut, penumpang hadapan Toyota Vios telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu dan penumpang belakang kereta terbabit telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapat rawatan.

"Kedua-dua pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Jaafar Mahmod berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja menyelamat.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba ke tempat kejadian mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan dua buah lori tangki minyak sawit.

"Pihak bomba menggunakan peralatan khas 'resque tools' untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa tersepit telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans.

"Semua mangsa cedera telah keluar dengan sendiri sebelum bomba sampai dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa maut diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.