Bekas tentera terlantar sakit

Iklan
Syed Mohd Ifandi dan Mohd Rani menziarahi Zulhairi yang terlantar di rumah keluarganya di Kampung Pangkal Che Endut di sini.

MACHANG - Lapan tahun menguruskan anak terlantar koma akibat kemalangan jalan raya, bukan sesuatu yang mudah dan pastinya menuntut pengorbanan yang tinggi.

Namun bagi seorang ibu, itulah bukti kasih sayang yang tidak pernah padam untuk anak yang dikandung meskipun terpaksa berdepan pelbagai dugaan.

Iklan
Iklan

Zah Abdullah, 59, berkata, anaknya yang juga bekas tentera, Zulhairi Radzi, 36, koma selepas terlibat kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja pada 2011 di Kuala Lumpur.

Katanya, sejak itu dia dan suami, Radzi Awang, 60 menguruskan segala keperluan Zulhairi bagi memastikan kebajikannya terjaga termasuk menyediakan susu khas sebanyak lima kali sehari sebagai makanan utamanya.

Iklan

"Saya hanya keluar rumah apabila keadaan benar-benar memerlukan memandangkan kami bimbang sesuatu akan terjadi kepadanya apabila ditinggalkan keseorangan.

"Pada waktu malam, saya dan suami serta seorang anak angkat, Nik Nor Fazliana Nasaruddin, 11, akan tidur di ruang tamu di hadapan pintu bilik Zulhairi setiap malam bagi memastikan dia dalam keadaan baik.

Iklan

"Biliknya agak kecil dan tidak mampu memuatkan kami bertiga," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Syed Mohd Ifandi Syed Jaafar di Kampung Pangkal Che Endut, di sini semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tak Berpencen (PVTTB) Malaysia Kelantan, Mohd Rani Hussin dan Ketua Cawangan PVTTB Machang, Tengku Hassan Tengku Yusoff.

Sementara itu, Syed Mohd Ifandi berkata, bagi meneruskan hidupnya, Zulhairi memerlukan susu khas yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan.

Katanya, bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga itu, JHEV menyediakan bantuan susu khas sejak empat tahun lalu.

"Pelbagai kemudahan dan manfaat disediakan kerajaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan termasuk alat sokongan bagi menjaga kebajikan golongan ini," katanya.