Mahkamah Gibraltar arah bebas kapal tangki Iran

Iklan
Mahkamah Gibraltar arah pembebasan kapal tangki minyak Iran, Grace 1 yang ditahan pada bulan lalu. - Foto AFP

GIBRALTAR - Mahkamah Agung Gibraltar semalam mengarahkan pembebasan kapal tangki milik Iran yang ditahan kerana disyaki menghantar minyak mentah ke Syria.

Ketua Hakim, Anthony Dudley berkata, kapal tangki Grace 1 tidak lagi tertakluk kepada penahanan.

Iklan
Iklan

Keputusan dibuat setelah kerajaan Gibraltar dilaporkan menerima jaminan bertulis dari Iran bahawa kapal Grace 1 tidak akan pergi ke negara yang tertakluk kepada sekatan Kesatuan Eropah (EU).

"Tiada lagi sebab munasabah untuk terus menahan kapal berkenaan," kata Ketua Menteri, Fabian Picardo dalam satu kenyataan.

Iklan

Beberapa jam sebelum pengumuman dibuat, Amerika Syarikat (AS) dikatakan mengambil langkah undang-undang bagi mendesak Gibraltar agar terus menahan kapal tangki Grace 1.

Langkah itu menyebabkan penangguhan keputusan mahkamah berhubung nasib kapal terbabit, namun Dudley ketika membuat keputusan berkata, pihaknya tidak menerima permohonan bertulis dari AS.

Iklan

Washington bagaimanapun masih boleh membuat permohonan agar kapal berkenaan terus ditahan selagi ia belum meninggalkan perairan Gibraltar.

Kapal tangki Grace 1, membawa 2.1 juta tong minyak Iran ditahan polis Gibraltar dan pasukan Marin Diraja Britain pada 4 Julai lalu kerana disyaki membawa minyak mentah ke Syria.

Pada 19 Julai, Teheran bertindak menahan kapal tangki milik Britain, Stena Impero di Selat Hormuz kerana dikatakan melanggar undang-undang maritim antarabangsa. - AFP