YAN - Seramai 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah dan Majlis Sukan Negeri bakal mendaki Gunung Annapura yang terletak di Nepal bagi mengibarkan Jalur Gemilang sempena kemerdekaan negara kali ke-62 tahun ini.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, program ini akan bermula pada 24 Ogos hingga 6 September 2019.
Katanya, misi peserta pendakian kali ini adalah untuk memecahkan rekod dengan mempamerkan bendera terbesar bersaiz 183 meter X 85 meter.
"Program ini turut melibatkan dua peserta wanita yang mana latihan persediaan telah dilakukan sejak dua bulan yang lalu," katanya.
Menurut Awang Askandar, selain daripada bendera terdapat juga 303 stiker bendera Malaysia bakal dilekatkan di sepanjang laluan pendakian.
"Kita nak perkenalkan negara kita di mata dunia kerana gunung berkenaan merupakan salah satu lokasi pendakian yang menjadi tumpuan," katanya.
Tambah Awang Askandar, persediaan latihan melibatkan mental dan fizikal sangat penting bagi memastikan peserta sentiasa bersedia.
"Persediaan mental juga turut dilakukan melalui pengisian dari pakar dan kita turut membuat kajian akan risiko yang bakal wujud ketika sesi pendakian.
"Kami sangat berharap pendakian ini berjaya dan kita mohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan misi ini," katanya.
Sementara itu, seorang peserta wanita, Maizatul Akmam Adam, 45 berkata, beliau berasa bangga dan bersyukur kerana terpilih di dalam misi pendakian ini.
Beliau yang juga Pegawai Belia dan Sukan daerah Baling begitu teruja menyertai misi ini buat kali pertama.
"Atas dasar kesamarataan saya dan seorang rakan yang juga dari daerah Baling terpilih dalam program ini.
"Misi kita adalah untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan berharap ia berjaya dilakukan seperti dirancang," katanya.
Menurut Maizatul, penyertaan mereka dalam pasukan pendakian ini telah diketahui dengan lebih awal.
"Alhamdulillah kami berkesempatan mengadakan sesi latihan secara bersama dan diharapkan bekalan semangat yang ada untuk menaikkan nama negara ini menjadi inspirasi hebat buat kami," katanya.