KUALA LUMPUR - Pondok pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Jalan 13/23D, Taman Danau Kota, di sini terbakar akibat dibaling dengan bahan letupan molotov cocktail awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang sedang bertugas cedera di tangan dan badan.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Che Mohd. Aizat Che Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.41 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kita dapati pondok pengawal telah terbakar dan siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada unsur khianat akibat dibaling dengan molotov cocktail.
"Seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang sedang bertugas mengalami lecur sebanyak 10 peratus di tangan dan badan. Mangsa telah diberi rawatan oleh pihak paramedik yang berada di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.