KOTA BHARU - Seorang pesakit mental ditahan selepas bertindak menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, hingga putus ibu jari kanan dan parah di kepala di Kampung Padang Luas, Jertih, Terengganu semalam.
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan polis di Felda Selasih Besut kira-kira jam 4.15 petang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 12.50 tengah hari di hadapan rumah mangsa di Kampung Padang Luas, Jertih.
Menurutnya, mangsa yang berusia 55 tahun baru tiba di rumahnya untuk menukar pakaian sebelum didatangi suspek yang menaiki Perodua Kembara di hadapan rumah mangsa dan mengadu tidak berpuas hati berhubung isu pokok kelapa yang ditanam memasuki kawasannya.
"Mereka berbual bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan parang panjang dari dalam keretanya lalu menetak mangsa di belakang kepala hingga mangsa terjatuh.
"Mangsa cuba menyelamatkan diri namun suspek sekali lagi melibas parang tersebut lalu kena pada ibu jari kanan mangsa hingga terputus,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di Unit Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini semalam.
Aidi berkata, suspek mempunyai rekod pesakit mental dan pernah mendapatkan rawatan di hospital akibat penyakitnya itu.
"Mereka tinggal berjiran dengan rumah suspek hanya 50 meter dari rumah mangsa dan pernah membuat aduan kepada mangsa mendakwa rumahnya diserbu polis sebelum ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Polis Daerah Besut kena tetak