SHAH ALAM - Ahli perniagaan, Koon Yew Yin disaran menjaga sensitiviti semua pihak dalam negara dan tidak mengulangi perbuatannya itu pada masa akan datang.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tugas tentera bukan sahaja perlu bergadai nyawa malah sumbangan pasukan keselamatan itu tidak dapat dijual beli.
"Hinaan Yew Yin terhadap anggota keselamatan yang hanya makan dan tidur adalah tidak wajar.
ARTIKEL BERKAITAN: Penghina ATM musuh negara: Menteri Pertahanan
"Beliau (Yew Yin) perlu sedar keamanan yang dikecapi hari ini adalah hasil kejayaan mereka sebagai anggota keselamatan untuk mengekalkan kesejahteraan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dominic berkata, dakwaan bahawa anggota keselamatan tidak pandai menembak dan sebagainya adalah tidak munasabah.
Jelasnya, Yew Yin mendapat kecaman hebat di laman media sosial dan media masa biarpun sudah tampil dengan permohonan maaf secara terbuka kepada semua.
Semalam, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan menuntut Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap Yew Yin yang mengeluarkan kenyataan memperlekehkan pengorbanan anggota tentera di negara ini.
Timbalan Yang Dipertuanya, Adnan Ahmad berkata, kenyataan tersebut adalah satu penghinaan kepada semua anggota tentera negara ini.
"Kerajaan perlu memainkan peranan penting supaya tiada lagi mana-mana pemimpin, tokoh korporat dan sebagainya tampil dengan isu-isu sedemikian kerana bimbang menjadi provokasi tanpa kita sedar dalam masyarakat," katanya