Durian Thailand kena rampas di pintu sempadan

Iklan
Anggota Maqis berjaya merampas 20 biji durian yang cuba diseludup dari Thailand.

BUKIT KAYU HITAM - Cubaan individu membawa masuk durian dari Thailand secara tidak sah ke negara ini berjaya digagalkan dalam satu pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya berjaya merampas hasil keluaran pertanian itu yang cuba diseludup penumpang melalui laluan kereta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai Maqis, mendapati sebuah kereta jenis Perodua cuba menyeludup 20 biji buah durian dari Thailand.

"Kesemua buah tersebut dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Iklan

"Penahanan hasil pertanian itu adalah untuk mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah atau penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian negara jika tidak dikawal sebaiknya,” katanya.

Sebahagian durian yang dibawa masuk dari Thailand dalam keadaan tidak memuaskan setelah diperiksa.

Maqis tegas mengawal kemasukan hasil pertanian secara tidak sah dengan sentiasa melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, ikan yang dibawa masuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Iklan

"Kita tegas bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, perbuatan mengimport hasil keluaran pertanian tanpa Import Permit yang sah adalah suatu kesalahan bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan boleh dihukum bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.