MELAKA TENGAH - Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka hari ini atas dakwaan membunuh tiga ahli keluarga angkatnya tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Luqman Hadi Mustapa, 31.
Hukuman itu membabitkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori kerana membunuh Hassan A Wahab, 70, Mariah Baharin, 61 dan Muhammad Taufeq Hassan, 22.
Luqman turut didakwa bagi pertuduhan keempat dan kelima mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana menetak tubuh badan Noor Haslinda Diyana Hassan, 26 dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, menggunakan parang panjang.
Bagi kesalahan yang boleh menyebabkan kematian itu dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhanp
Dia didapati melakukan kesalahan bagi kesemua lima pertuduhan itu di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim di sini antara jam 5.50 pagi hingga 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.
Ahmad Nasfy dalam penghakimannya pada akhir kes pendakwaan berkata, semua perbuatan tertuduh tidak konsisten dengan perbuatan orang tidak siuman.
"Atas sebab itu, mahkamah menolak pembelaan insanity tertuduh, pihak pembelaan sekali gus gagal menimbulkan keraguan munasabah.
"Tertuduh bersalah dan disabitkan di bawah Seksyen 302 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga. Tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Bagi pertuduhan keempat dan kelima dikenakan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan," katanya.
Setelah mendengar hukuman itu, beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat menangis sambil berpelukan dengan tertuduh yang hanya kelihatan sebak sambil berdiam diri.
Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan bermula 22 Oktober 2016.
Pada 25 Ogos 2016, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Tetap Wanita Umno Tangga Batu, suami, anak lelaki mereka mati dikelar Luqman Hadi yang juga saudara kepada ketiga-tiga beranak itu.
Luqman yang tinggal di rumah tersebut turut menyebabkan dua anak perempuan pasangan terbabit cedera parah dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.