Gajah jantan mengganas di Kampung Memali ditangkap

Iklan
Abd Nasir menunjukkan gajah berkenaan.

BALING - Seekor gajah liar yang sering mengancam tanaman penduduk di sekitar Mukim Siong di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam hutan di Kampung Memali semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, gajah jantan dewasa itu berusia 25 tahun dengan ukuran tapak kaki depan bersaiz 14 inci.

Iklan
Iklan

Menurutnya, haiwan itu ditangkap malam tadi melalui operasi kali keempat Perhilitan dengan kekuatan 10 anggota.

"Alhamdulillah, setelah lebih setahun isu ini mengganggu penduduk, gajah itu akhirnya dapat ditangkap.

Iklan

"Selama ini penduduk takut keluar ke kebun untuk menoreh getah sebab bimbangkan keselamatan diri," katanya kepada Sinar Harian selepas meninjau lokasi tangkapan gajah itu bersama Perhilitan hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, jumlah kerosakan tanaman pertanian dan kebun seperti kelapa sawit, pisang, kelapa serta buah-buahan dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

Iklan

"Selain itu, penduduk juga terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat keluar ke kebun dan menoreh," katanya.

Tambah Abd Nasir, untuk tindakan seterusnya, Perhilitan akan memindahkan haiwan itu dalam masa terdekat.

"Selepas ini Perhilitan dengan dibantu penduduk kampung akan buat jalan trak untuk memindahkan gajah itu.

"Ini kerana jarak dari jalan besar dengan lokasi gajah ditambat ialah 400 meter," katanya.

Beliau berkata, haiwan itu akan diberikan makan sementara menunggu waktu dikeluarkan dari kawasan berkenaan.

"Saya berharap penduduk tidak mendekati kawasan gajah ditangkap bagi mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku," katanya.