HULU TERENGGANU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan kemelut isu perumahan terbengkalai sejak 2015 di Padang Setengge, di sini.
Timbalan menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, kementeriannya akan melihat dan mengkaji bentuk bantuan sesuai termasuk dari aspek perundangan.
"Ada pembeli terlibat bayar deposit, terpaksa bayar pinjaman bank walaupun rumah tiada kemajuan dan ada yang baiki sendiri. Seramai 144 pembeli juga melantik peguam untuk ambil tindakan ke atas pemaju yang tinggalkan projek ini tanpa siap.
"Saya turun padang hari ini (semalam) untuk mendengar rungutan pembeli dan akan bawa perkara ini untuk dibincangkan. KPKT akan tengok, kalau boleh jadi orang tengah cuba untuk berunding penyelesaian terbaik atasi masalah rumah terbengkalai ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau projek perumahan Padang Setengge yang terbengkalai melibatkan fasa tiga dan empat di sini semalam.
Menurutnya, projek berkenaan dimulakan lebih kurang enam tahun lalu, namun terbengkalai pada 2015 sebelum kerja-kerja disambung kembali pemaju baharu kira-kira tiga atau empat bulan lalu.
"Di bawah KPKT juga, kita akan lihat apakah nasihat yang boleh diberi kepada penduduk untuk mengambil tindakan seterusnya. Peguam mulakan tindakan perundangan dan pastinya akan ambil masa.
"Secara teknikalnya kalau ada aduan kita boleh ambil tindakan termasuk senarai hitamkan pemborong atau pemaju terlibat projek terbengkalai. Saya tidak pasti adakah satu aduan rasmi telah dibuat atau belum.
"Saya juga difahamkan pihak pemaju swasta yang bertanggungjawab telah pun tidak beroperasi dan ini adalah aspek-aspek yang kita kena kaji juga," katanya.