'Menteri tidak sehaluan dengan PM perlu letak jawatan'

Iklan
Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM - Pas menggesa mana-mana menteri yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perkara dasar negara perlu meletakkan jawatan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu perlu dilakukan, jika tidak ia akan menimbulkan suasana huru-hara serta ketidakstabilan negara dan kesannya akan terbeban kepada seluruh rakyat jelata.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengikut Perkara 43(2)(b), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang ahli Kabinet dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Oleh itu, menteri kabinet tidak boleh mengambil pendirian yang berbeza dengan Perdana Menteri dalam hal berkaitan dasar negara terutama selepas diputuskan kerajaan melalui Kabinet.

Iklan

"Tindakan tersebut adalah suatu pelanggaran konsep tanggungjawab bersama (ministerial responsibility), malahan dianggap suatu keingkaran (insubordination)," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, beberapa menteri Kabinet dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Perdana Menteri berhubung isu pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Iklan

Dua daripada menteri terbabit menyatakan pendirian mereka supaya Zakir tidak dibenarkan tinggal di negara ini, manakala Dr Mahathir sebelum ini menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya pendakwah tersebut dihantar pulang ke India sehinggalah dia dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas juga melihat sekiranya Perdana Menteri mendapati mana-mana menteri kabinet sering kali bertindak bercanggah dengan dasar yang hendak dibawa olehnya demi kepentingan negara dan rakyat, Dr Mahathir perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan menteri berkenaan.

Menurutnya, pembatalan pelantikan menteri itu boleh dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 43(5), Perlembagaan Persekutuan.