WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyokong penuh tindakan Israel melarang dua ahli Kongres wanita beragama Islam daripada memasuki wilayah yang diduduki.
Trump berkata, beliau tidak mempengaruhi keputusan Israel sebaliknya ia diputuskan sendiri Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Katanya, keputusan untuk menyokong langkah itu selepas mendapati Ilhan Omar dan Rashida Tlaib mempunyai sentimen anti-Yahudi dan anti-Israel yang melampau.
"Mereka membenci Israel dan semua orang Yahudi dan tiada apa yang dapat dikata atau dilakukan untuk mengubah fikiran mereka. Mereka cukup memalukan!,” kata Trump.
Terdahulu, Israel mengumumkan keputusan itu semalam dengan alasan kedua-dua anggota Demokrat terbabit menyokong boikot ke atas negara yang menekan penduduk Palestin.
Netanyahu juga menuduh Ilhan dan Rashida mempunyai agenda jahat kerana tujuan utama mereka adalah untuk menghasut dan membahayakan Israel.
Ilhan dan Rashida dijangka tiba di Israel pada hujung minggu ini dan akan dibawa melawat ke wilayah Palestin.
Kedua-duanya adalah pengkritik tegar Trump yang menjalin hubungan erat dengan Netanyahu.
Awal bulan ini, Trump dikecam selepas mengeluarkan komen rasis terhadap Ilhan dan Rashida dan dua lagi anggota kongres wanita Demokrat.
Trump meminta Ilhan, Rashida, Alexandria Ocasio-Cortez dan Ayanna Pressley pulang ke negara asal di mana mereka dilahirkan.
Kumpulan itu, tiga daripadanya lahir di AS adalah berketurunan Hispanik, Arab, Somalia dan Afrika-Amerika.