KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pembantu makmal bergaya dengan barang kemas baharu bukan sahaja tidak kesampaian, malah turut terpaksa menanggung kerugian hampir RM2,000 selepas ditipu oleh peniaga dalam talian tidak dikenali.
Kejadian berlaku selepas wanita berusia 55 tahun dari Manir, bersetuju membeli barang kemas yang diiklankan di dalam laman Facebook menggunakan nama 'Nur Jannah' pada Jumaat lalu.
Menurut sumber, selepas berbincang soal harga, mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran pendahuluan terlebih dahulu sebelum barang kemas tersebut dihantar.
Kata sumber, tanpa sebarang syak, mangsa terus bersetuju dan pada hari sama, dia melakukan pemindahan sejumlah wang ke dalam nombor akaun sebuah bank diberikan.
"Pada keesokan harinya (Sabtu), mangsa sekali lagi membuat pemindahan wang ke dalam akaun sama untuk menjelaskan bakinya.
"Bagaimanapun, pada Ahad lalu, mangsa terkejut selepas mendapati pemilik akaun Facebook tersebut sudah menyekat akaun Facebook miliknya.
"Malah lebih mengelirukan mangsa selepas mendapati semua mesej perbualan mereka melalui 'Messenger Facebook' sudah dipadam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas sumber, curiga dengan situasi tersebut, mangsa cuba menyiasat sebelum mendapati akaun Facebook tersebut adalah palsu.
"Mangsa kemudiannya terus membuat laporan polis," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Manir di sini kelmarin.
Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.