Hibah TH dan persepsi awam

Iklan
Gambar hiasan
KEMELUT Lembaga Tabung Haji (LTH) tentang pembayaran hibah kepada pendeposit tanpa mengikut peraturan dan undang-undang pengauditan ditetapkan menimbulkan keresahan kepada umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, harga saham yang dilabur LTH dalam beberapa syarikat juga dikatakan mengalami kerugian besar berikutan kejatuhan harganya di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Berita ini semakin menakutkan 9.3 juta pendeposit yang menyimpan wang dalam LTH berkenaan sebanyak RM73.5 bilion dan memiliki aset bersih bernilai RM69.4 bilion sehingga 2017, sekali gus mungkin menggagalkan hasrat mereka mahu menunaikan haji suatu masa nanti.

Oleh itu ada sebahagiannya mengeluarkan wang simpanan mereka dan memindahkannya ke institusi kewangan lain yang dianggap lebih selamat dan suasana ini dianggap tidak sihat kerana ia akan menghakis kepercayaan umat Islam terhadap LTH.

Kewujudan institusi kewangan dan LTH mempunyai objektif yang berbeza. Tujuan institusi kewangan diwujudkan adalah untuk menyediakan kemudahan menyimpan dan meminjam wang kepada orang ramai dan biasanya institusi kewangan berkenaan mengenakan kadar faedah atau keuntungan lebih tinggi kepada peminjam berbanding bayaran faedah atau dividen yang diterima pendeposit.

Tujuan utama LTH ditubuhkan pada 1963 sepertimana yang dicadangkan pakar ekonomi, Profesor Diraja Ungku Aziz adalah untuk menyediakan kemudahan menyimpan wang kepada bakal haji sehingga jumlahnya mencukupi yang membolehkan seseorang itu menunaikan haji suatu masa nanti.

Keutamaan penyimpan adalah untuk persediaan menunaikan haji suatu masa nanti dan bukannya bermatlamat mencari keuntungan daripada hasil simpanan. Wang zakat daripada hasil keuntungan pelaburan juga dibuat LTH sebagai satu kemudahan bermakna kepada pendepositnya.

Ketika menjalankan kajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) beberapa tahun lalu, penulis mendapati lebih 90 peratus pendeposit atau pelanggannya menjelaskan tujuan sebenar mereka menyimpan wang di institusi berkenaan adalah untuk mencapai hasrat menunaikan haji suatu masa nanti.

Menurut mereka, wang yang disimpan dianggap sentiasa selamat dan ketika diperlukan ia tidak menyulitkan serta membolehkan mereka menunaikan haji dalam keadaan lebih selesa. Mereka menyertai skim pelaburan dalam unit saham amanah yang ditubuhkan kerajaan jika mahu mendapatkan keuntungan lebih baik daripada bayaran dividen.

Tindakan mengeluarkan wang yang dilakukan sesetengah penyimpan LTH sebenarnya merugikan diri mereka sendiri kerana hasrat mereka menunaikan haji lebih awal mungkin akan terbantut. Mereka dikehendaki mendaftar semula dan terpaksa menunggu tarikh lebih lewat sebagai bakal jemaah sekiranya mahu menunaikan haji suatu masa nanti.

Pada tahun 2013 LTH memperoleh pendapatan RM3,730 juta, 2014 (RM3,289 juta), 2015 (RM4,467 juta), 2016 (RM3,481 juta) dan 2017 (RM4,585 juta).Manakala keuntungan bersih pada 2013 ialah RM2,634 juta, 2014 (RM2,979 juta), 2015 (RM3,536 juta), 2016 (RM2,486 juta) dan 2017 (RM3,412 juta).

Bayaran hibah yang dibuat LTH kepada pendeposit pada 2013 ialah RM2,632 juta, 2014 (RM3,237 juta), 2015 (RM3,220 juta), 2016 (RM2,871 juta) dan 2017 (RM3,324 juta).

Sebenarnya yang membimbangkan sekarang mereka ialah kepercayaan masing-masing terhadap usaha pihak tertentu bercadang menjual beberapa saham pelaburan dan aset LTH dalam pasaran yang masih dianggap lemah.

Berdasarkan prestasi pelaburan dalam beberapa sektor pelaburan saham adalah baik sebelumnya dan ia di jangka kukuh semula pada bila-bila masa apabila ekonomi dunia pulih sepenuhnya.

Jika saham dan aset dijual sekarang mestilah ia akan menguntungkan pembeli bermodal tinggi dengan kos lebih rendah dan sudah tentu mereka akan mengaut keuntungan besar apabila dijual semula di pasaran ketika harga tiba-tiba meningkat.

Soalnya, siapa yang ditugaskan mengambil kesempatan membelinya dan mungkinkah mereka menjadi proksi pihak tertentu? Itulah yang menjadi bualan semasa dan masih berlegar dalam fikiran masyarakat Islam di negara ini pada masa kini yang penulis rakamkan dalam tulisan ini.

* Penulis penuntut PhD Universiti Utara Malaysia (UUM)